Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan prosuder operasi standard (SOP) yang diwartakan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara kumulatifnya, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 88,238 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota sebanyak 20,114.

Jelas beliau, sehingga semalam, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan 2,047 pemeriksaan ke atas kilang dan 11,899 premis perniagaan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak lapan premis telah diarahkan tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan SOP.

“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 88,238 pemeriksaan semalam.

“Ia melibatkan 4,406 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 20,114 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang PKP.

Semalam, 866 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP.

Daripada jumlah itu, seramai 779 individu dikompaun manakala 87 lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan adalah rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis sebanyak 229 kes, tidak memakai pelitup muka (154), tiada penjarakan fizikal (151) dan individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (88),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri menambah, Operasi Benteng (Op BENTENG) semalam telah menangkap 17 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan merampas tujuh tujuh buah kenderaan darat.

Kata beliau, dalam operasi itu, sebanyak 143 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui 11 aktiviti penglihatan.

Op Benteng melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 1,018
Sekatan Jalan Raya (SJR). – MalaysiaGazette