Hajiji Noor

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah akan melaksanakan fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok, dengan mengekalkan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kata ketua menterinya, Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata, menerusi fasa pertama itu, beberapa aktiviti sosial dan ekonomi dibenarkan beroperasi antaranya makan di dalam restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel; gerai-gerai menjual sayur, ikan dan buah-buahan di tepi jalan raya; serta kedai gunting rambut.

“Perincian SOP negeri Sabah akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji berkata, aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal seperti senaman, golf, memancing dan berbasikal, adalah dibenarkan dalam fasa pertama PPN di Sabah.

Beliau berkata, aktiviti pembuatan dan perkilangan yang dibenarkan beroperasi juga akan diperluaskan kepada getah, simen dan cat, selain kilang berasaskan kayu dan perabot.

Kerajaan Sabah sebelum ini melaksana PKP 3.0 bermula 1 Jun lepas sehingga 14 Jun, sebelum dilanjutkan sehingga hari ini (28 Jun). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast