KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen, termasuk Ahli Parlimen pembangkang, untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing, kata Perdana Menteri.
Tan Sri Muhyiddin berkata, selain itu, sejumlah RM10 juta juga diperuntukkan bagi tujuan melaksanakan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.
”Dalam soal menyampaikan bantuan kepada rakyat, saya mengambil sikap untuk mengetepikan perbezaan politik. Baik ahli parlimen kerajaan atau pembangkang, semuanya mestilah memikul tanggungjawab bersama untuk membantu rakyat di kala ramai yang sedang menanggung kesusahan.
”Gunalah peruntukan ini sebaik mungkin untuk membantu rakyat yang memerlukan di kawasan parlimen masing-masing,” katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).
Tambah beliau, kerajaan komited untuk membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dengan meneruskan dasar pengawalan harga barang perlu.
Walaupun harga komoditi di peringkat global meningkat, kerajaan akan terus mengekalkan harga runcit bagi petrol RON95, diesel dan LPG yang dijangka melibatkan subsidi melebihi RM6 bilion pada tahun ini, ujarnya.
Selain itu, kata Muhyiddin, dalam menangani isu kenaikan harga minyak masak botol 1 kilogram hingga 5 kilogram, kerajaan akan melaksanakan program Harga Kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah.
Melalui program ini, sebagai contoh, harga minyak masak botol 5 kilogram dapat dikawal supaya tidak melebihi RM30 sebotol.
Dalam memastikan bekalan minyak masak pek polibeg 1 kilogram terjamin, kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion.
Muhyiddin berkata, melalui tambahan peruntukan ini, rakyat masih dapat membeli minyak masak pek polibeg 1 kilogram pada harga bersubsidi RM2.50
Dalam pada itu, tambah beliau, kerajaan juga akan memperluaskan Elaun Mencari Pekerjaan kepada bukan pencarum PERKESO terutamanya graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal, kata beliau.
Katanya, mereka boleh mendaftar di bawah platform MYFutureJobs dan bakal menerima elaun sekurang-kurangnya RM300.
Selain itu, kerajaan akan memperuntukkan RM125 juta melalui HRD Corp untuk melaksanakan inisiatif Place and Train di bawah program Janapreneur terutamanya kepada belia lepasan sekolah dan graduan, ujar beliau.
Muhyiddin berkata, inisiatif itu dijangka membuka peluang kepada 30,000 orang untuk mengikuti program latihan kemahiran dengan jaminan pekerjaan setelah tamat latihan.
Katanya, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pula akan menambah baik program sedia ada iaitu eRezeki dan GLOW bagi membantu lebih 20,000 pencari pekerja dalam ekonomi gig. – MalaysiaGazette