Antara ganja yang dirampas pada sidang media kejayaan menumpaskan sindiket menanam pokok ganja dan pengedaran dadah ganja di IPD Kajang. Foto HAFIZ SOHAIMI, 28 JUN 2021.

KAJANG – Tiga beranak warganegara Singapura yang berselindung di sebalik perniagaan minyak wangi dicekup polis selepas didapati menanam pokok ganja di dalam sebuah banglo di Semenyih dan mengedarkannya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, bertindak atas maklumat yang diterima, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah menyerbu kediaman tersebut kira-kira pukul 10 malam pada Jumaat lalu.

Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas lapan batang pokok ganja yang ditanam di dalam beg, 23 botol kaca lutsinar mengandungi daun kering disyaki ganja dianggarkan seberat 398 gram bernilai RM19,900, empat alat pengawal suhu, empat lampu haba, dua lampu ultra ungu, empat buah kipas, dua penapis udara, dua tabung oksigen serta dua ‘aircooler’.

“Hasil siasatan yang dijalankan, suspek didapati membeli biji benih ganja dari sebuah laman web yang beroperasi di Amerika Syarikat dengan membuat bayaran secara atas talian menggunakan kad kredit.

“Kita percaya sindiket ini telah beroperasi kira-kira empat bulan sejak Februari lalu dan dadah yang dirampas ini adalah untuk pasaran antarabangsa terutamanya negara-negara Asia,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan menunjukkan pokok ganja yang dirampas pada sidang media kejayaan menumpaskan sindiket menanam pokok ganja dan pengedaran dadah ganja di IPD Kajang. Foto HAFIZ SOHAIMI, 28 JUN 2021.

Jelas Mohd Zaid, bagi pasaran antarabangsa, jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut dianggarkan bernilai kira-kira RM54,000.

Tambah beliau, suspek yang merupakan bapa dan dua anak lelaki berusia lingkungan 25 hingga 58 tahun itu kini ditahan reman selama lima hari sehingga 30 Jun.

Mohd Zaid berkata, siasatan lanjut mendapati banglo yang dijadikan tempat mengusahakan tanaman jenis ganja itu disewa pada harga RM2,000 sebulan.

“Mereka ini bekerja sebagai peniaga minyak wangi dan kesemuanya mempunyai dokumen perjalanan namun kita sedang periksa ketulenan dokumen itu dengan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Semakan mendapati ketiga-tiga individu terbabit tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau,” ujarnya.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan menunjukkan pokok ganja yang dirampas pada sidang media kejayaan menumpaskan sindiket menanam pokok ganja dan pengedaran dadah ganja di IPD Kajang. Foto HAFIZ SOHAIMI, 28 JUN 2021.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan hanya seorang suspek didapati positif dadah Tetrahydrocannabinol (THC).

Mengulas lanjut, Mohd Zaid berkata, pihaknya turut menyita sebuah kenderaan jenis Ford Ranger yang dianggarkan bernilai RM30,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette