Set periuk Le Creuset antara peralatan dapur pilihan wanita hari ini . Gambar hiasan

PADA hari ini para wanita terutamanya adalah dalam keadaan dilema dan serba salah. Ini berkemungkinan disebabkan masa yang mendesak dan juga pada waktu yang sama sumber kewangan amatlah terhad sementelah musim PKP ini. Ada yang bernasib baik kerana bekerja makan gaji namun tidak kurang juga yang terpaksa mengharapkan duit masuk melalui jualan atas talian dan lain-lain.

Dengan adanya teknologi moden dan kepelbagaian media, maklumat amat mudah disalurkan dengan sekelip mata. Pelbagai alatan memasak yang canggih manggih timbul untuk membantu para wanita yang kesuntukan masa bagi memudahkan urusan kerja mereka terutama di dapur. Perkara ini bukan sahaja tertumpu kepada para wanita yang bekerjaya malah suri rumah juga tidak ketinggalan untuk mendapatkan alat bantuan memasak ini.

Jika kita buka mana-mana siaran di televisyen yang mempromosikan periuk-periuk memasak, ia kelihatan sangat hebat dan kita pun terasa perlu dan wajib untuk kita mendapatkannya. Maka tanpa berlengah kita terus menelefon atau membuat pesanan di talian kerana bimbang terlepas waktu promosi. Begitu juga jika mendapat promosi di media massa yang lain. Begitu cepat hati wanita ini terusik dek kerana keinginan yang membuak-buak untuk membuat yang terbaik kepada ahli keluarga. Ingin memasak dalam jangka waktu yang singkat dan sedap serta pelbagai alasan lagi yang mendorong para wanita ini untuk membelinya.

Namun sedar tak sedar kita sebenarnya telah banyak membeli dan terbiar sepi di dalam almari. Kita hanya menggunakannya, jika ada majlis atau pada musim perayaan. Jadi tanpa kita sedar sebenarnya itu adalah salah satu punca pembaziran. Wang yang sepatutnya boleh digunakan untuk urusan lain kini terkubur dengan membeli peralatan dapur yang dianggap boleh membantu tetapi kita pula tiada masa untuk menggunakannya.

Di sinilah sebenarnya seorang wanita perlu bijak membuat pilihan dan pertimbangan sama ada barangan tersebut adalah keperluan ataupun kehendak. Jika ianya keperluan iaitu jika tidak ada akan menjejaskan fungsi kehidupan, maka kita bolehlah mendapatkannya. Tapi jika tidak perlu kerana jika tidak mendapatkannya pun kita masih boleh hidup dan memasak menggunakan segala sumber yang ada. Periuk belanga yang bertimbun-timbun hasil belian terdahulu, juga hasil promosi masih tidak terjejas dan tanda harga pun masih belum dibuka lagi. Maka bersabarlah dan gunalah apa yang ada dahulu. Kerana pembelian baru yang lebih canggih sudah termasuk dalam kehendak dan bukan lagi keperluan.

Tidak salah jika ianya adalah kehendak jika keperluan yang lain sudah dipenuhi. Buat  pilihan yang bijak semasa di situasi ini. Sebelum ini anda telah membeli segala jenis periuk belanga, tetapi apabila datang lagi teknologi yang lebih canggih anda beli lagi.
Jadi apa yang terjadi dengan periuk-periuk belanga yang sebelum ini? Jika anda
merasakan sudah tiba masanya untuk memberi laluan kepada teknologi baru maka
anda kena fikirkan untuk melepaskan barang-barang yang sedia ada kerana jika
tidak ianya termasuk dalam suatu pembaziran yang akan dihisab pada hari akhirat
nanti jika tidak digunakan. Sebaiknya bersedekah kepada mereka yang memerlukan
atau menjualnya dengan harga yang berpatutan.

Sebab itu kita kena tahu apa keperluan kita. Buka semata-mata ikut ‘trend’ terkini.
Apabila kawan ‘promote’ kita malu akan dikatakan tidak berduit jika tidak membeli.
Kita suka mengikut orang lain, orang beli kita pun beli juga. Lebih parah lagi jika kita
sanggup berhutang untuk mendapatkan alatan tersebut tanpa mengambil kira
implikasinya.

Jika kita tahu keperluan kita, datang apa teknologi sekalipun kita boleh membuat
pertimbangan dengan lebih waras sesuai dengan kemampuan, masa dan keperluan
semasa kita.

Jika kita membuat pilihan yang bijak tidak kiralah berapa harganya tetapi sesuai dengan masa dan keperluan keluarga kita maka isu pembaziran, malu dengan kawan-kawan dan jiran tidak akan terjadi. Kerana kita tahu keperluan kita setakat mana dan tidak ada keperluan membeli sesuatu yang di luar kemampuan. Jika mampu sekalipun apabila masuk dalam kategori kehendak tapi bukan keperluan lagi, maka kita boleh membuat pertimbangan yang sewajarnya sesuai dengan keadaan kita.

Penulis bukanlah seorang yang meminggirkan teknologi, tetapi penulis ingin mengajar para wanita berfikir dan merenung seketika antara kehendak dan keperluan. Kerana selepas ini mungkin ada lagi teknologi yang lebih canggih dan kita pasti akan lemas dalam mengikuti arus teknologi ini jika kita tidak tahu membezakan antara kehendak dan keperluan.

Dalam surah Al-Israa’: 27 Allah S.W.T berfirman “ Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Tepuk dada tanya selera dan iman.

Dr Azirawati binti Ismail
Ketua Jabatan Hal Ehwal Wanita, WARAK (PAPISMA)
Pakar Perubatan Kecemasan.

Ms ( Dr ) Afizah Salleh
Penolong Ketua Jabatan Hal Ehwal Wanita, WARAK ( PAPISMA )
Pakar Bedah Am, Hospital Pakar An-Nur