MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menzahirkan komitmen
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membantu Pelan Pemulihan Negara yang
merupakan strategi peralihan keluar secara berfasa yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini untuk Malaysia keluar daripada kemelut pandemik Covid-19. Salah satu daripada strategi untuk kita keluar dari pandemik ini adalah dengan meningkatkan bilangan rakyat yang menerima suntikan vaksin setiap hari agar tempoh masa negara mencapai imuniti kelompok dengan lebih pantas.
Universiti sebagai Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang berada di bawah KPT mempunyai
keazaman yang sama untuk membantu negara keluar dari pandemik ini. Iltizam universiti
dapat dilihat dari langkah terkini dengan mengambil peranan besar sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Menurut KPT sehingga Ahad lalu, sebanyak 26 PPV IPT
beroperasi di seluruh negara dengan perancangan kehadapan sebanyak 19 lagi PPV IPT
akan dibuka. Terkini mula beroperasi pada Isnin iailah PPV IPT Mega Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
Semenjak negara mula dilanda Covid-19, universiti sudah mula memainkan perananannya sebagai institusi ilmu yang menawarkan kepakaran dan penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat. Memandangkan pandemik ini sesuatu yang baharu dan impaknya pula dalam skala yang besar, secara logik pastinya universiti memerlukan sedikit masa untuk melakukan pengubahsuaian dalam aspek operasi dan governan, pembelajaran dan pengajaran, pembangunan mahasiswa, penyelidikan dan inovasi dan lain-lain perkara.
Tetapi tidaklah dalam tempoh ‘bertenang’ ini ia akan menghakis nilai akademia yang
menjadi tunjang kekuatan universiti. Bukti pengubahsuaian yang dilakukan tidak menghilangkan ‘bisa’ universiti sebagai menara ilmu dapat kita sandarkan pada beberapa pencapaian misalnya ranking universiti kita semakin bertambah baik, pengiktirafan yang diterima oleh ahli akademik atas kesarjanaannya daripada pihak dalam dan luar negara tidak pernah sunyi, malah bidang penyelidikan dan inovasi yang sinonim untuk universiti sentiasa terokai tidak pernah surut dalam tempoh yang sukar ini.
Penulis akui ada segelintir pihak yang melihat selepas lebih setahun Covid-19 menjejaskan kehidupan alam kampus, universiti masih lagi terbelenggu dengan dengan perkara melibatkan ‘operational’ yang dilihat membuang masa dan mengambil banyak tenaga seperti menguruskan prosedur pelajar pulang dan kembali ke kampus, kaedah pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran di rumah dan sebagainya. Telahan ini pada anggapan penulis mungkin timbul kerana pihak yang prihatin ini menganggap apa yang dilakukan ini bukanlah kerja utama universiti, bagi mereka universiti seharusnya bertindak dan bekerja untuk isu yang lebih besar lagi dari perkara-perkara kecil seperti ini.
Inilah cabaran semasa universiti dalam mencari titik keseimbangan memenuhi jangkauan
masyarakat yang tinggi terhadap apa yang universiti dapat sumbangkan untuk membantu
mereka berhadapan pandemik ini. Pasa masa yang sama, dalam keadaan sumber yang
terhad, universiti juga harus memastikan kelangsungan operasi universiti dan kebajikan
warga kampus khususnya mahasiswa tetap terjaga dan terbela. Sesuatu yang pasti,
universiti tidak pernah berputus asa untuk membantu negara untuk menang bersama
melawan pandemik ini.
Penulis merupakan Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).