PUTRAJAYA – Kerajaan akan menyemak unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini susulan pelaksanaan Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pengumuman mengenai semakan semula unjuran KDNK baharu itu akan dibuat pada pertengahan Ogos.
Beliau memberitahu, defisit fiskal negara dijangka meningkat di sebalik unjuran KDNK yang lebih rendah daripada sebelumnya.
“Kami menjangkakan unjuran KDNK akan disemak semula berikutan PKP penuh. Tetapi yang baiknya adalah ketika ini kita bergerak menuju fasa 2, 3 dan 4 di mana lebih banyak sektor akan dibuka dan mempengaruhi ekonomi secara perlahan ke arah sukuan ketiga dan keempat tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas sidang media khas mengenai Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) di Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.
Bank Dunia baru-baru ini menurunkan unjuran pertumbuhannya ekonomi Malaysia buat kali kedua kepada 4.5 peratus bagi 2021, daripada 6.0 peratus yang diunjurkan pada Mac dan 6.7 peratus pada 2020 selepas mengambil kira peningkatan jangkitan kes Covid-19 serta program pemberian vaksin yang lebih perlahan daripada dijangkakan.
Bagaimanapun Menteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, semakan menurun KDNK Malaysia itu oleh Bank Dunia kepada 4.5 peratus bagi 2021 sudah dijangkakan.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej Pemulih bernilai RM150 bilion.
Beliau berkata, ia merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul yakin kesan berganda dari pakej Pemulih itu akan meningkatkan KDNK negara sebanyak dua mata peratusan pada tahun ini. – MalaysiaGazette