Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain
JOHOR BAHRU – Polis Johor menyiasat dakwaan terdapat peserta himpunan ‘Black Democracy’ menukar modus operandi dengan merakam video di rumah sambil memakai baju hitam sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran haram itu.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, pihaknya ada menerima laporan itu dan siasatan sedang dilakukan.
“Kita akui ada terima aduan mengenai perkara ini, mungkin peserta menukar modus operandinya kerana terdapat halangan dari segi sekatan di jalan raya. Bagaimanapun kita masih menyiasat kesasihan laporan berkenaan.
“Sekiranya benar terdapat video seperti dilakukan di rumah peserta di daerah ini,  kesalahan itu akan dirujuk Pengarah Siasatan Jenayah Johor,” katanya ketika ditemui ketika membuat pantauan di hadapan bangunan KWSP di sini.
Himpunan ‘Black Democracy’ yang dijadual berlangsung tengah hari ini, tidak mendapat sambutan di bandar raya ini.
Sejak semalam, Polis Johor telah melakukan operasi bersepadu  membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM),  Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF).
Katanya, hampir 400 pegawai dan anggota daripada tiga agensi berkenaan bekerjasama bagi memastikan bandar raya ini bebas dari sebarang unsur provokasi dan kejadian tidak diingini.
“Alhamdulilah, situasi di bandar raya ini terkawal sejak kawalan keselamatan ditingkatkan bermula jam 8 pagi tadi dan tiada kompaun dikeluarkan terhadap mana-mana individu setakat ini.
“Kawalan yang kita buat di beberapa lokasi strategik bandar raya ini tidak berjaya ditembusi dan perhimpunan ‘Black Democracy’ nampaknya tiada sambutan di Johor Bahru.
“Antara lokasi yang dikawal ketat membabitkan Istana Bukit Serene, Istana Besar, Istana Pasir Pelangi dan Bangunan KWSP Negeri Johor.
“Kita juga mengadakan tiga sekatan jalan raya (SJR) di pintu masuk bandaraya ini dengan kehadiran pegawai dan anggota di sepanjang laluan ke bandaraya dan lokasi strategik,” tambah beliau. – Malaysiagazette