Anggota tentera akan memasang kawat berduri di lokasi yang disenaraikan untuk dilaksanakan PKPD bermula malam esok.

KUALA LUMPUR – Kerajaan terpaksa meletakkan Penjara Jelebu, Negeri Sembilan bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula 2 Julai ini.

Ini berikutan, daripada 793 ujian saringan yang dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) ke atas tahanan, kakitangan penjara dan ahli keluarga mereka mendapati 132 daripadanya positif Covid-19.

Justeru, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di penjara itu dan kuarters kakitangan kecuali Blok Muhasabah yang menempatkan tahanan PTP.

Ismail Sabri Yaakob

Kata beliau, pelaksanaan PKPD sehingga 15 Julai ini dilakukan sebagai usaha menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut.

Dalam pada itu, kerajaan juga mengumumkan PKPD bagi Kampung Pangkal Jetas, Machang di Kelantan bermula Jumaat ini berikutan berlaku trend kes harian meningkat.

“Sehingga kini, sebanyak 28 disahkan positif Covid-19 hasil saringan ke atas 172 penduduk di kampung itu dan PKPD dilaksanakan bagi mengelak penularan ke dalam komuniti bersebelahan serta memudahkan KKM menjalankan aktiviti mengesan kontak rapat,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau turut menyatakan Taman Public, Kota Kinabalu, Sabah juga diletakkan bawah PKPD dari 2 hingga 15 Julai ini kerana sembilan daripada 16 ujian saringan dilakukan disahkan positif dengan kadar positiviti 56.25 peratus.

Bagi PKPD Kampung Landung Ayang, Kudat, Sabah yang sepatutnya tamat esok, dilanjutkan lagi selama dua minggu hingga 15 Julai ini kes positif dan penularan wabak masih berlaku, termasuk kes baharu direkodkan.

Sementara itu sebanyak lima lokaliti akan tamat pelaksanaan PKPD mulai jam 11.59 malam ini.

Lokaliti itu ialah Kampung Bukit Gemuk, Tawau, Sabah; Kampung Tanjung Batu Keramat, Tawau, Sabah; Perumahan Etara, Jalan Agaseh, Lahad Datu, Sabah; Taman Lavender, Kudat, Sabah dan Kampung Serikin, Bau, Kuching, Sarawak. – MalaysiaGazette