Mohamad Noor Yusof Ali melakukan pemeriksaan mengejut dalam satu operasi di Kuantan.

KUANTAN – Sebanyak 1, 840 kompaun dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas pelbagai kesalahan pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 8 April tahun lalu di Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komsioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, meskipun arahan penguatkuasaan PKP bermula 18 Mac 2020 namun pelaksanaan kompaun dilakukan sebulan selepas itu kerana memberi amaran kepada masyarakat terlebih dahulu.

Menurutnya, kesemua kesalahan melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Dalam pada itu, keadaan di Kuantan masih terkawal walaupun pun sedang mengawal kluster Covid-19 di Indera Mahkota 16 dan Kemunting yang melibatkan kawasan perikanan dan pasar borong.

“Polis memerlukan kerjasama individu, kumpulan, masyarakat  yang pernah ada kontak dan berurusan dengan kawasan ini supaya membuat ujian calitan.

“Mereka dinasihatkan untuk hadir ke Dewan Jubli Perak untuk membuat ujian calitan dan kurantin bagi memastikan rawatan wabak ini dikawal.

“Tidak perlu menunggu pihak polis datang ke rumah, saya mengharapakn kerjasama ini tanpa lengah ini kunci kejayaan untuk memutuskan rantaian Covid-19 di daerah ini,” katanya. – MalaysiaGazette