Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Semua perkhidmatan kaunter agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) akan dibuka mulai 1 Julai ini hanya dibenarkan secara janji temu berjadual manakala urusan secara walk-in tidak dibenarkan.

Manakala kapasiti petugas kaunter tidak boleh melebihi 50 peratus dan urusan yang dibenarkan adalah semua jenis urusniaga yang tidak dapat dilaksanakan secara dalam talian.

MOT dalam satu kenyataan hari ini menyatakan bagi urusan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula akan membuka semua kaunter perkhidmatannya untuk transaksi berkaitan kenderaan komersial dan persendirian mulai 1 Julai ini kecuali mana-mana perkhidmatan yang boleh dilakukan dalam talian menerusi portal awam MySIKAP atau rakan strategik JPJ yang menawarkan perkhidmatan jabatan.

“Justeru segala urusan di seluruh negara (Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta WP Labuan) adalah secara temu janji berjadual dan walk in tidak dibenarkan sama sekali manakala kiosk pula akan beroperasi seperti biasa.

“Terdapat 38 transaksi dalam talian melalui portal awam mySIKAP namun, hanya 11 transaksi sahaja memerlukan kaedah pendaftaran melalui pengesahan biometrik (sekali daftar) bagi meneruskan transaksi melalui portal awam MySIKAP,” kata kementerian dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua 11 transaksi yang dimaksudkan adalah salinan LKM,permohonan pertukaran hak milik (pemilik baharu), permohonan pertukaran hak milik untuk pemilik berdaftar, cabutan Pek Maklumat Kenderaan, Pertanyaan Maklumat Pemilik Kenderaan (VOC),Pertanyaan Maklumat Kenderaan Vehicle Information Pack (VIP), Tempah Nombor Pendaftaran, Maklumat Pemilik, Permohonan Mengecop Semula Nombor Casis, Permohonan Mengecop Semula Nombor Enjin dan akhirnya Perubahan Maklumat Alamat atau nombor telefon atau e-mel.

Orang ramai digalakkan merujuk Facebook rasmi JPJ@jabatanpengangkutanjalanmalaysia untuk mendapatkan senarai Cawangan JPJ berdekatan bagi membuat temu janji.

Sementara itu kata MOT, bagi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), semua permohonanm boleh dibuat melalui temujanji ini kecuali urusan kad pemandu.

Jelas MOT, Para pengusaha dan syarikat boleh membuat temu janji melalui portal APAD iaitu https://www.apad.gov.my/temujanji/index.html. Portal temu janji APAD boleh diakses bermula jam 4.00 petang, 30 Jun 2021.

Bagi permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) permohonan hendaklah dibuat secara terus melalui emel [email protected].

Kata kementerian itu lagi, dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN), para pengusaha dan syarikat tidak terikat dengan keperluan untuk mengemukakan permohonan memperbaharui lesen dalam tempoh 90 hari sebelum tamat tempoh lesen.

Bagi proses serahan keputusan, temu janji hendaklah dibuat melalui emel [email protected],[email protected],[email protected] dan [email protected] dan orang ramai digalakkan merujuk laman Facebook APAD, @APADchannel untuk maklumat lanjut.

Urusan membabitkan Jabatan Laut juga dibenarkan mulai 1 Julai ini melalui temu janji sahaja membabitkan transaksi iaitu Semakan dokumen-dokumen pelaut, semakan sijil-sijil kapal, urusan pertukaran anak kapal, urusan pembelian buku latihan pelaut, urusan pengambilan dokumen-dokumen pelaut, urusan pengambilan sijil/permit kapal dan akhirnya jurusan pembayaran yang tidak dapat dilaksanakan secara dalam talian.

Untuk keterangan lanjut untuk temu janji boleh menghubungi Hotline 3346 7777/7620 serta e-mel: [email protected] Facebook: @JabatanLautMalaysia.-MalaysiaGazette