KUALA LUMPUR – Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) mengumumkan mesyuarat Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) telah memutuskan untuk memendekkan jarak suntikan dos bagi vaksin AstraZeneca (AZ) dari 12 kepada sembilan minggu.
Penerima dos kedua vaksin berkenaan akan dimaklumkan secepat mungkin.
“Hasil penilaian barisan pakar dalam JKJAV yang turut dianggotai oleh Kementerian Kesihatan juga mendapati jarak terbaharu ini masih lagi dapat mengekalkan tahap keberkesanan sama yang maksimum untuk perlindungan sewajarnya kepada penerima vaksin tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, tempoh jarak antara dos pertama dan kedua AstraZeneca yang diputuskan ini masih selari dengan garis panduan yang ditetapkan oleh syarikat pengeluar AstraZeneca sendiri iaitu di antara 4 hingga 12 minggu.
Untuk maklumat atau sebarang pengumuman terkini, sila ikuti kami di laman media sosial (Facebook, Twitter dan Instagram) @JKJAVMY.
Hari ini, kerajaan menerima sejuta dos bekalan vaksin AstraZeneca yang disumbangkan oleh kerajaan Jepun untuk membantu negara memerangi pandemik dan memperhebatkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Bekalan vaksin yang diterima secara pukal itu tiba menggunakan pesawat Japan Airlines (JAL723) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Bagi pihak kerajaan Malaysia, CITF amat mengalu-alukan sumbangan ini dan menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Jepun di atas pemberian satu juta dos bekalan vaksin AstraZeneca ini yang sudah tentunya dapat membantu untuk menyuntik kapasiti dan kadar vaksinasi PICK bermula bulan ini,” kata kenyataan yang sama.
Sumbangan itu juga melambangkan keprihatinan kerajaan Jepun dan kepercayaan mereka terhadap kerajaan Malaysia dalam memerangi pandemik dan menyokong program imunisasi global bagi membendung penyebaran wabak.
Ia juga adalah simbolik kepada tanda keakraban hubungan antara kedua-dua negara dan Malaysia yakin sumbangan ini akan terus memperkukuhkan lagi hubungan dua hala ini.
“Sumbangan bekalan vaksin ini hadir tepat pada masanya ketika usaha PICK sedang dilipatgandakan untuk membantu Malaysia mencapai sasaran imuniti kelompok seperti yang disasarkan dalam Pelan Pemulihan Negara mengikut garis masa yang ditetapkan.
“Dengan sumbangan yang diterima, ini menjadikan jumlah vaksin AstraZeneca yang telah diperoleh oleh negara setakat 1 Julai 2021 adalah sebanyak 1,828,000 dos.
“Bekalan daripada sumbangan ini akan diutamakan untuk inisiatif sukarela pengambilan vaksin AstraZeneca yang telah dijalankan bagi memastikan kelancaran operasi vaksinasi bagi usaha tersebut sebelum lebihannya dimasukkan ke dalam PICK untuk edaran ke negeri-negeri,” kata kenyataan yang sama.
Bekalan vaksin AstraZeneca yang diterima hari ini dihasilkan oleh syarikat Daiichi Sankyo Biotech di Saitama, Jepun dan telah diluluskan oleh Pharmaceuticals and Medical Devices Agency (PMDA), agensi di bawah Kementerian Kesihatan Jepun pada 21 Mei 2021. Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga akan membuat penilaian untuk mendapatkan kelulusan Lot Release bagi penggunaan vaksin ini di Malaysia.
Selain Malaysia, Jepun turut menyumbangkan bekalan vaksin sama kepada Vietnam dan beberapa negara Asia Tenggara lain seperti Thailand, Indonesia, Filipina serta beberapa negara Asia Barat.- MalaysiaGazette