Anifah Aman Tommy Thomas Shafie Apdal Sabah Sultan Sulu Philippines claims demands
Anifah Aman

KOTA KINABALU – Rakyat bukan sahaja berdepan dengan pandemik Covid-19, mereka juga berdepan dengan krisis ekonomi dan kewangan yang menyebabkan kerajaan negeri Sabah melonggarkan prosedur operasi standard (SOP).

Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman, kelonggaran itu perlu difahami kerajaan persekutuan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat membebankan rakyat.

“Kerajaan persekutuan perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Sabah dalam melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa pertama di negeri ini.

“Meskipun terdapat kelonggaran, kerajaan juga perlu memastikan rakyat tetap mematuhi SOP seperti mana yang telah ditetapkan kerana masing-masing tahu bahaya pandemik dan penularan ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pada Isnin lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan untuk melonggarkan beberapa SOP dibuat susulan pelaksanaan kawalan pergerakan fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selain itu, aktiviti pembuatan dan perkilangan diperluaskan kepada getah, simen dan cat; kilang berasaskan kayu dan perabot.

Aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal seperti senaman, golf, memancing dan berbasikal turut dibenarkan.

Sabah membenarkan gerai menjual sayur, ikan dan buah-buahan di tepi jalan serta kedai gunting rambut menjalankan perniagaan masing-masing selain membenarkan pelanggan makan di kedai dan restoran di premis hotel.

Anifah yang juga bekas Menteri Luar berkata, keadaan Covid-19 di Sabah terkawal dan berada di tahap sederhana berbanding beberapa negeri di semenanjung.

Menurut beliau, bukannya menjadi kesalahan apabila kerajaan negeri melonggarkan SOP bagi membolehkan rakyatnya bernafas. – MalaysiaGazette