Azmi Abu Kassim

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 14 lokaliti sekitar ibu negara yang bermula tengah malam ini akan dilaksanakan menggunakan kaedah yang dikuatkuasakan sebelum ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kawad duri dan penghadang jalan akan dipasang kawasan PKPD sekitar KL.

“Kita akan memohon kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu memasang pagar kawat duri di 14 kawasan lokaliti yang akan menjalani PKPD.

“IPK tidak mempunyai masalah untuk memasang kawad duri dan penghadang jalan di kawasan yang dikenakan PKPD di dalam ibu negara kerana keluasan kawasan adalah kecil berbanding di negeri Selangor yang mempunyai kawasan kawalan yang besar dan luas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azmi menjelaskan, penghadang jalan akan digunakan untuk mengawasi sesebuah kawasan atau lokaliti yang menjalani PKPD sekiranya kawat duri tidak mencukupi.

Polis turut menempatkan pegawai dan anggota di lokasi-lokasi tertentu bagi memantau sebarang pergerakan tanpa kebenaran oleh penduduk di lokaliti PKPD, tambah beliau.

Malah pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) di sekitar Kuala Lumpur adalah kekal sama seperti sebelum ini iaitu melalui kaedah SJR kekal atau statik serta SJR bergerak di tempat-tempat yang dirasakan perlu.

Lokaliti di Kuala Lumpur yang dikenakan PKPD bermula 12 tengah malam ini sehingga 16 Julai ini adalah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak, PPR Batu Muda, Flat Seksyen 2 Wangsa Maju, Flat Seksyen 1 Wangsa Maju, Kampung Padang Balang, Taman Koperasi Polis (Fasa 1 & 2), Flat Sri Sabah, Kampung Puah, PPR Kampung Baru Air Panas, Flat Desa Pandan (termasuk Baiduri & Delima), Kampung Batu Muda, PPR Kerinchi, Bandar Baru Sentul dan Jalan Ikan Emas.- MalaysiaGazette