SEPANG – Polis sedang menjejaki lapan lagi keluarga di Taman Murni di sini yang didapati ‘menghilang’ sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan berkenaan berkuat kuasa pada 30 Jun lepas.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata terdapat 465 buah rumah di Taman Murni yang didiami 1,588 orang, dan daripada jumlah itu, 69 buah rumah tidak berpenghuni manakala lapan buah rumah berpenghuni didapati masih tiada orang.
Menurutnya, sebuah keluarga seramai empat orang telah pulang ke kediaman mereka secara sukarela semalam untuk menjalani saringan dan juga menerima suntikan vaksin.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak lapan sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di kawasan Sepang dengan empat daripadanya bersempadan Negeri Sembilan.
Kemungkinan SJR akan diubah ke laluan masuk ke lebuh raya bagi pemeriksaan menyeluruh susulan pelaksanaan PKPD di hampir kesemua mukim di Selangor, bermula tengah malam ini.
— BERNAMA