Sukarelawan menyusun beberapa barangan bantuan pada Program Bantuan Banjir Johor 2021 di Dewan Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor. Foto SYAFIQ AMBAK, 05 FEBRUARI 2021.

PANDEMIK Covid-19 telah memberikan kesan yang sangat berat kepada ekonomi dan punca pendapatan sebahagian masyarakat Malaysia sehingga kita turut dimaklumkan dengan kes bunuh diri yang kian meningkat. Situasi ini turut menggambarkan tekanan perasaan, depresi dan kegusaran rakyat Malaysia dalam menempuh hari-hari yang mencabar.

Baru-baru ini tular kempen #BenderaPutih di media sosial yang bertujuan untuk menghulurkan bantuan kepada individu yang memerlukan. Penggunaan kata pagar dan kata kunci sekali lagi menunjukkan kreativiti rakyat Malaysia dalam menyebarkan mesej kepada orang ramai. Kali ini rakyat Malaysia dilihat bersatu padu menyampaikan pesanan agar setiap individu dapat turut serta membantu mereka yang sedang dalam kesusahan.

Kempen tersebut mendapat perhatian meluas terutamanya bagi golongan yang ingin memberikan kesedaran tentang kepayahan segelintir masyarakat yang terputus punca pendapatan dan mengalami kesukaran untuk memenuhi tanggungjawab dan komitmen kehidupan seharian. Kempen tersebut juga dilancarkan bagi menyatakan cara alternatif bagaimana individu yang memerlukan bantuan boleh melakukan tindakan untuk dibantu.

Bagi yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan memerlukan bantuan, mereka tidak perlu berasa takut atau malu untuk menyatakan hasrat memohon bantuan. Sebaliknya, mereka hanya perlu meletakkan bendera putih di kediaman mereka sebagai tanda atau isyarat yang mereka sedang memerlukan bantuan seperti makanan, sokongan emosi dan kewangan. Bagi individu yang menetap di kawasan kejiranan yang terlihat bendera putih tersebut dinaikkan atau diletakkan, mereka boleh menghulurkan bantuan yang diperlukan.

Kempen kibarkan bendera putih merupakan satu inisiatif baik yang dilakukan oleh rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia. Ia menunjukkan keprihatinan dan semangat bantu-membantu sesama masyarakat. Perspektif Islam amat menekankan usaha untuk meringankan beban satu sama lain seperti yang dijelaskan dalam Surah Al-Mai’dah, ayat 2, yang menyarankan manusia untuk saling membantu dalam perkara kebajikan dan ketaqwaan. Justeru itu, selain memohon doa, aktiviti bantu-membantu dapat memupuk semangat kebersamaan dan kecintaan sesama masyarakat disamping melahirkan rasa kesyukuran.

Dalam pendekatan aktivisme sosial, ia merujuk kepada proses pembelajaran yang berlaku dalam persekitaran sosial di mana proses tersebut melibatkan aktiviti kolaboratif atau tindakan bersama. Ini bermaksud, masyarakat Malaysia mempelajari impak pandemik Covid-19 dan cakna bagaimana ianya mampu memberi kesan yang teruk terhadap sebahagian individu.

Dalam konteks kempen kibar bendera putih, ia bukanlah bermaksud menyerah kalah. Walau bagaimanpun, ia adalah cara alternatif bagaimana seseorang boleh bertindak sama ada memberikan mesej atau melakukan perubahan sosial yang baik. Dalam perspektif Islam, aktivisme sosial juga merujuk kepada ‘hayat tayyibah’ yang merujuk kepada peranan individu agar menyeimbangkan kehidupan yang baik di dunia mahupun di akhirat.

Internet bertindak sebagai ‘public sphere’ atau ‘ruang awam’ yang membolehkan pengguna dalam talian membentuk dan melaksanakan aktivisme sosial. Jika digunakan sebaiknya, ia memberikan dimensi aktivisme yang bermanfaat di mana setiap individu dapat menggunakan ilmu, daya dan kreativiti mereka untuk memberikan kesedaran tentang sesuatu isu dan melakukan tindakan bersama dalam membantu golongan yang memerlukan. Melalui kaedah ini jugalah, peranan dan penyertaan masyarakat dapat dibentuk dan diperkasakan untuk bersama membina dan meningkatkan situasi kehidupan yang lebih baik.

Penulis:
Dr. Kartini Kamaruzzaman,
Pensyarah Kanan,
Program Komunikasi Media Baharu,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusa,
Universiti Sains Islam Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast