Tiada perbezaan kemurungan antara lelaki dan wanita, - Gambar hiasan.

SUSULAN isu kemurungan yang sedang hangat diperkatakan, kita sudah lali mendengar atau membaca kes-kes yang berkaitan dengan masalah kesihatan mental kini. Malah, ramai juga yang berpendapat sudah menjangkakan kes seumpama ini akan terus meningkat terutamanya apabila paling terkesan dengan pandemik COVID-19 yang terus menular hingga ke hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan tentang seorang wanita yang sedang menjalani
rawatan mental yang telah terjun dari tingkat 15 sebuah flat tempat tinggalnya. Bulan lepas, seorang anak yang mengalami masalah kemurungan sejak setahun telah mencederakan bapanya dengan sebilah pisau hanya selepas ibunya mengajak untuk menjamah makanan.

Ini tidak ditambah dengan golongan dikenali ramai seperti dari kalangan selebriti
mahupun dari kalangan ahli keluarga golongan ternama yang juga sedang atau pernah
mengalami masalah kemurungan ini. Jika dikaji semula, laporan-laporan akhbar
menunjukkan bahawa terdapat sesuatu perkara yang telah menimpa mereka sehingga
mereka mengalami masalah ini sama ada secara sedar atau tidak.

Mungkin ramai di antara kenalan kita juga yang tanpa disedari sedang mengalami
masalah kemurungan. Seperti yang telah disarankan oleh Menteri Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang menyeru agar golongan ini
diberi lebih perhatian bagi mengelakkan mereka melakukan perkara yang tidak diingini
kerana hanya mereka yang paling rapat yang akan tahu terlebih dahulu tanda-tanda yang
ditunjukkan.

Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), bilangan kes bunuh diri bagi tiga bulan
pertama tahun ini sahaja adalah sebanyak 366. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pandemik COVID-19 telah memberi impak yang sangat besar kepada kesihatan mental setiap individu atau seluruh penduduk dunia. Dalam hal ini, mengambil kira perkara atau kejadian yang menimpa kepada golongan ini mungkin boleh dijadikan asbab atau punca kepada berlakunya masalah kemurungan atau depresi ini.

Namun, mungkin sudah tiba masanya untuk setiap individu untuk kembali berbalik kepada Tuhan, Pencipta alam yang menjadikan dan membenarkan setiap sesuatu itu berlaku seperti yang disarankan oleh semua agama. Ini kerana, apabila bantuan dari segi menyelesaikan masalah golongan ini mungkin tidak dapat atau tidak mampu untuk diselesaikan oleh ahli keluarga atau mereka yang paling rapat, baik dari segi masalah kewangan, hubungan, pekerjaan atau masalah lain.

Tambahan pula, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan kini bagi membanteras COVID-19 dari terus menular akan menjarakkan lagi pergaulan mahupun waktu kebersamaan di antara satu sama lain. Selain daripada mencari alternatif perubatan bagi merawat masalah yang semakin dikenali sebagai ‘penyakit’ ini, mungkin dari satu sudut, hubungan kerohanian dengan Tuhan boleh cuba dikaji dan diterapkan semula dalam jiwa golongan yang mengalami masalah ini.

Keyakinan diri yang hilang serta keadaan diri yang terasa kosong dan sentiasa berasa letih dan tidak mahu melakukan apa-apa jelas menunjukkan kosongnya pengisian dalam mengamalkan amalan-amalan baik yang disarankan agama seperti berzikir, membaca al-Quran, beristighfar misalnya dalam agama Islam. Malah, pada ketika inilah yang disebut sebagai qada’ dan qadar atau takdir yang paling menguji keimanan dan kecekalan seseorang individu.

Sedangkan istilah yang paling tepat berbanding ‘penyakit’ sebenarnya adalah merupakan ujian yang memang menjadi lumrah kehidupan. Dalam agama Islam juga, seseorang itu yang mampu bersabar dengan ujiannya dijanjikan pahala dan ganjaran yang tidak ternilai di akhirat. Ini juga selari dengan ayat 286 dari surah al-Baqarah bahawa ‘Allah tidak akan menguji hambaNya di luar batas kemampuannya’.

Maka, jika kita terus difahamkan untuk menerima dan memahami masalah kemurungan ini sebagai satu penyakit yang perlu dirawat dengan ubat-ubatan, apa yang membimbangkan ialah adakah kita mahu melihat dan menerima kes-kes begini akan terus meningkat hanya kerana setiap individu mempunyai sebab untuk menjadi murung?
Mahukah kita terus menerima sahaja apa-apa bentuk perlakuan hanya kerana mengalami
masalah kemurungan?

Mungkin akan ada yang berpendapat bahawa ia lebih mudah diperkatakan daripada
menghadapi ahli keluarga atau kenalan rapat yang mempunyai masalah ini. Jika ini yang
berlaku, mungkin kempen-kempen berbentuk kerohanian dari pihak yang bertanggungjawab akan boleh membantu untuk menimbulkan dan mengimarahkan semula hubungan kita dengan Tuhan baik bagi mereka yang mengalami masalah ini mahupun diri kita sendiri yang menjadi ahli keluarga atau yang rapat dengan mereka. Ini kerana, secara warasnya, bukan hanya mereka yang sedang diuji dengan masalah tetapi kita juga yang mempunyai hubungan dengan golongan ini sedang diuji untuk bagaimana kita sedang menghadapi dan membantu mereka atau tidak mahu mengambil tahu.

Kesimpulannya, memang masalah kemurungan ini bukan sesuatu yang boleh
dipandang remeh kerana ia bukan hanya akan memberi kesan terhadap diri mereka sahaja, tetapi juga kepada ahli keluarga dan yang rapat dengan mereka sama ada dari sudut emosi mahupun kepada mencederakan fizikal. Oleh itu, selain merawat dengan ubat-ubatan, mungkin memperbaiki amalan dan hubungan dengan Tuhan boleh menjadi satu lagi alternatif yang perlu dikaji dan digunakan.

Oleh: Dr. Safiyyah Ahmad Sabri
Pensyarah Kanan
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia

1 Komen

Comments are closed.