Ekoran masalah Covid-19, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Wilayah Persekutuan (PKMM-WP) mahu semua pihak dalam industri pembinaan bekerjasama menyelesaikan masalah yang timbul.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Ekoran masalah Covid-19, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Wilayah Persekutuan (PKMM-WP) mahu semua pihak dalam industri pembinaan bekerjasama menyelesaikan masalah yang timbul.

Yang DiPertua PKMM-WP, Datuk Amran Mohamed, kontraktor kini berdepan cabaran getir yang mengakibatkan semakin berkurangnya kerja di pasaran seterusnya menyukarkan kontraktor kekal beroperasi.

Lebih memburukkan keadaan, munculnya kontraktor baharu yang makin bertambah berbanding sebelum pandemik juga menyebabkan mereka sedia ada terpaksa gulung tikar.

Selain itu, kekurangan pekerja di tapak binaan yang majoritinya warga asing menyulitkan lagi keadaan sehingga menyebablkan berlaku ketidakmampuan syarikat pembinaan membiayai pekerja terbabit.

“Semua cabaran ini perlu didepani bersama bagi mengelak tempohsuram dalam industri binaan yang menyebabkan banyak syarikat kontraktor berdepan kerugian besar dan akhirnya ditutup.

“Dalam keadaan semasa kita dapati berlaku trend peningkatan kos dan harga bahan binaan yang terlampau tinggi terus mempengaruhi aliran tunai syarikat yang pastinya merugikan kontrak sedang beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yang DiPertua PKMM-WP, Datuk Amran Mohamed.

Sebelum itu, Amran telah menyuarakan perkara yang sama ketika menjadi panel dalam Forum Virtual anjuran PKMM-WP baru-baru ini.

Forum berlangsung bertemakan Senario Industri Pembinaan Semasa Pandemik Covid-19 telah mengetengahkan pelbagai cabaran dan solusi yang perlu disegerakan bagi mengelak kontraktor bumiputera gulung tikar dan menanggung bebanan hutang yang besar.

Forum yang sama turut disertai Pengarah CIDB Wilayah Persekutuan, Zainora Zainal serta Pengarah PKK Cawangan Wilayah Persekutuan, Mohamad Hasyim melalui aplikasi google meet dan disiar secara langsung di Facebook menjadi ruang terbaik mencari jalan penyelesaian segera untuk membantu kelangsungan kontraktor dan industri pembinaan tempatan.

Menurut Amran, industri binaan berdepan dengan pelbagai masalah dan cabatan getir disebabkan kesan pandemik Covid-19 yang melanda terlalu lama sehingga lebih setahun.

Keadaan tersebut memberi cabaran yang besar kepada kontraktor kerana projek diluluskan terpaksa beroperasi dengan kapasiti yang terhad disebabkan rantaian bekalan bahan binaan yang terputus atau tiada di pasaran.

“Senario ini berlaku kerana sebahagian bahan binaan sahaja mendapat kebenaran beroperasi daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan MITI sepanjang pelaksanaan PKP. Masalah ini menyebabkan ramai kontraktor kini menanggung hutang, pekerja tempatan dibuang kerja, malah ada kontraktor gulung tikar ceburi bidang lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengakui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumum Perdana Menteri dengan peruntukan RM380 bilion memberi nafas lega bagi kontraktor.

Pengumumam itu, kata Amran, menjurus kepada kontrak kerajaan membenarkan perubahan harga (VOP), memberi lanjutan masa (EOT) kepada projek kerja yang terjejas serta melaksanakan kerja-kerja undi bagi kontraktor G1 hingga G4.

“Semua pemain industri bergabung tenaga serta bekerjasama dalam PKMM bagi menyelesaikan masalah sedang berlaku. Bagi kontraktor konsesi yang diberi kepercayaan oleh kerajaan pula, perlu patuh syarat asal konsesi termasuklah konsep payung untuk membantu kontraktor kecil.

“Caranya ialah dengan memberi harga terbaik dan tidak memikir keuntungan semata -mata. Kita juga akan adakan sesi libat urus PKMM serta pemain-pemain industri dengan pihak kerajaan secara lebih kerap bagi membincangkan dasar-dasar berkaitan perkara berbangkit seperti pakej-pakej bantuan prihatin kepada industri binaan.

“Saranan kerajaan untuk memperkasa industri binaan dengan menggunapakai revolusi industri seperti IBS, BIM & IR 4 adalah langkah terbaik untuk mengelak kebergantungan kepada pekerja asing berterusan,” katanya.

Bagaimanapun, tambah Amran, industri pembinaan masih terbuka luas pada ketika ini kerana sektor pembinaan merupakan dua kali kesan pengganda dalam memulihkan ekonomi negara.

Belanjawan 2021 yang diperuntuk sebanyak 15 billion untuk projek-projek infrastruktur akan membuka banyak peluang kepada kontraktor di Malaysia.- MalaysiaGazette