Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah (tengah) menunjukkan dadah serta mesin memproses pil ekastasi yang dirampas pihaknya pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Belajar cara buat dadah daripada sindiket lain sebelum menjadikan bahagian dapur rumah tiga tingkat sebagai makmal proses pil ekstasi.

Itulah kegiatan haram sepasang kekasih sejak Januari lalu yang berjaya dibongkarkan selepas polis menahan mereka serta dua lelaki dalam tiga serbuan bermula jam 5 petang pada Khamis lalu.

 

Mustafa Kamal (tengah)

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, serbuan pertama di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat di Sungai Pinang yang membawa kepada tangkapan seorang lelaki berusia 29 tahun yang juga peniaga durian.

Katanya, hasil pemeriksaan polis merampas pil eramin 5, serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA), dadah jenis ketamin, ganja serta pil ekstasi.

Jelas beliau, susulan itu, polis menahan dua lelaki termasuk dalang utama berusia 42 tahun di dalam sebuah kereta Nissan Sentra selain merampas sejumlah pil eramin 5.

Mustapa Kamal (kiri) menunjukkan pil ekstasi yang dihasilkan sindiket.

“Serbuan terakhir di sebuah rumah teres tiga tingkat di kawasan Bukit Gambir, Gelugor yang membawa kepada penemuan makmal memproses pil ekstasi di bahagian dapur tingkat bawah kediaman itu.

“Dalam serbuan itu, kita turut menahan seorang wanita warga asing berusia 32 tahun yang juga kekasih kepada dalang utama sindiket ini.

“Pemeriksaan lanjut dalam kediaman itu, kita menemui pil eramin 5, syabu, serbuk MDMA, pil ekstasi, mesin serta peralatan menghasilkan pil ekastasi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Mesin hasilkan pil ekstasi yang dirampas pihak polis.

Menurut Mustafa Kamal, serbuan selama dua hari itu pihaknya merampas 1,470 biji pil eramin 5 dirampas, serbuk MDMA seberat 6.2 kilogram, syabu 23 gram, ketamin serta ganja

Turut disita sebuah kereta jenis Honda City serta barang kemas.

“Secara keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM398,352 manakala sitaan pula bernilai RM28,340,” kata beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati peniaga barangan antik serta kekasihnya mempunyai kepakaran menghasilkan pil ekstasi itu untuk pasaran tempatan.

Antara kereta milik salah seorang suspek yang disita polis.

”Kita tidak menolak kemungkinan pil ekastasi ini untuk dijual kepada mereka yang menganjurkan parti liar memandangkan pusat hiburan tutup ketika ini.

“Semakan juga mendapati dalang utama sindiket ini mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah selain positif dadah.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kesemua suspek direman selama lima hari sehingga 7 Julai bagi membantu siasatan,” jelas Mustafa Kamal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette