Anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawal ketat pergerakan keluar masuk kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Blok C PPR Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Beberapa hari lepas heboh di laman media sosial tentang pemasangan kawat berduri di tangga Blok C, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, di sini.

Ia bagi mengelakkan penduduknya keluar masuk dari blok berkenaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan.

Bagaimanapun tinjauan MalaysiaGazette mendapati penduduk di kawasan kediaman itu tidak kisah dengan pemasangan kawad duri itu kerana mereka memahami keperluan tindakan tersebut bagi mengekang penularan Covid-19.

Sebaliknya insiden tersebut didakwa sengaja diperbesarkan oleh pihak-pihak tertentu.

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Kampung Baru Air Panas, Mohamad Faidzal Ibrahim, pemasangan kawad itu bukan isu besar dalam kalangan penduduk, sebaliknya kisahnya yang viral di media sosial akibat laporan tidak tepat.

Temubual bersama Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Kampung Baru Air Panas, Mohamad Faidzal di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 JULAI 2021.

“Apabila pihak berkuasa mewartakan PKPD berkuatkuasa pada 3 Julai lepas, semua penduduk telah dimaklumkan awal untuk semua bersedia. Keseluruhan penduduk tidak hadapi masalah untuk terima perintah PKPD di blok C ini.

“Sehingga hari ini kita tidak terima apa-apa rungutan diatas PKPD yang telah dikenakan ke atas mereka, semalam kami maklum tentang isu kawad duri di kiri kanan tangga blok C sahaja.

“Pada mereka yang mengeluarkan kenyataan ini tanpa hadir sendiri ke PPR Air Panas sepatutnya tidak perlu mengeluarkan kenyataan tidak betul kerana tiada penduduk yang merasakan tidak berpuas hati. 

“Penduduk juga maklum ini adalah laluan utama untuk mereka turun dan jika tidak letak kawad mungkin agak sukar untuk pihak berkuasa mengawal keadaan keluar masuk penduduk.

“Malam itu juga kami telah dimaklum peralatan tidak cukup untuk kawad keliling bangunan dan kami semua terima sehinggalah isu timbul, kami juga telah dimaklumkan kawad itu akan dibuka dan memang esoknya telah dibuka.

“Tidak ada isu sebenarnya, orang luar yang buat isu ini sehingga mengundang kebimbangan,” katanya.

Reaksi penduduk selepas kawasan kediaman mereka dipasang kawat besi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akibat penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Blok C PPR Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 JULAI 2021.

Semalam Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemasangan kawat berduri yang merentasi tangga adalah tidak dibenarkan di rumah pangsa di kawasan perumahan yang dikenakan PKPD.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pemasangan kawat berduri itu dipersetujui dalam mesyuarat penyelarasan PKPD yang turut dihadiri wakil bomba dan penyelamat.

Menurutnya, PKPD itu dilaksanakan terhadap satu blok sahaja berikutan blok yang lain didapati kurang berisiko.

Dalam pada itu, ketua penduduk untuk blok C, Basharuddin Aripin memberitahu, dakwaan semua tangga dipasang kawad berduri sehingga tiada ruang jika berlakunya kecemasan adalah tidak benar.

Temubual bersama Ketua Blok C, Basharudin Aripin di PPR Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur.Foto HAZROL ZAINAL, 04 JULAI 2021.

Katanya, perkara itu mendapat perhatian apabila ada pihak yang menularkannya di laman media sosial menyebabkan menteri mengeluarkan arahan agar kawad duri itu dibuka semula.

“Isu bukan penduduk blok C, kami tidak mengadu. Kita tutup tangga di kiri dan kanan sahaja, jika ada kecemasan masih boleh guna tangga di tengah-tengah ini. Tidak ada isu penduduk tidak puas hati.

“Penduduk maklum sebelum PKPD lagi kita sudah diberikan maklumat akan berlakunya PKPD ini, kami semua tahu ianya akan berlaku pada sekian sekian haribulan,” tambah beliau.

Tinjauan MalaysiaGazette pelaksanaan PKPK berjalan lancar dengan penduduk di kawasan perumahan itu menunggu barangan asas yang di pesan melalui perkhidmatan penghantaran.

Penduduk mengambil stok makanan dari orang luar susulan kediaman mereka yang dipasang kawat besi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akibat penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Blok C PPR Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 JULAI 2021.

Salah seorang ahli keluarga dibenarkan turun untuk mengambil barangan dipesan.

Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangka melakukan saringan ke atas penduduk di blok C pada petang ini. – MalaysiaGazette

Penduduk mengambil stok makanan dari orang luar susulan kediaman mereka yang dipasang kawat besi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akibat penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Blok C PPR Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 JULAI 2021.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast