PDRM logo police lockup death Benedict Thanilas
Gambar hiasan

GOMBAK – Sebuah papan tanda gergasi di tepi Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) menjadi mangsa vandalisme apabila diconteng dengan perkataan jelik terhadap kerajaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, polis menerima laporan mengenai insiden itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun pada jam lebih kurang 4 petang semalam.

Pengadu merupakan seorang Pegawai Keselamatan Trafik di sebuah syarikat lebuhraya.

Aduan itu dibuat selepas pengadu ketika berada di rumahnya di Kota Puteri, Batu Arang Selangor telah terima satu pesanan Whatsapp daripada rakan setugasnya memaklumkan berlaku vandalisme papan tanda milik syarikat.

“Pengadu kemudian telah keluar buat pemeriksaan dan mendapati sebuah papan tanda gergasi approve signage yang terletak bersebelahan lampu isyarat di jalan Bandar Tasik Puteri, Batu Arang telah diconteng (vandalisme) dengan perkataan yang jelik terhadap kerajaan dan sedang ditularkan.

“Siasatan awal mendapati papan tanda berkenaan dipasang oleh sebuah syarikat lebuhraya bagi tujuan memberi kemudahan kepada pengguna dan terletak lebih kurang satu kilometer dari lebuh raya LATAR tetapi papan tanda berkenaan yang diconteng dengan perkataan jelik itu telah dibersihka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rentetan laporan yang diterima, polis telah membuka kertas siasatan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat terhadap harta.

Menurutnya, siasatan turut dimulakan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

“Pihak polis meminta kerjasama dari orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai
kejadian tersebut supaya menghubungi pegawai penyiasat Insp. Amirul Ashyraf Abu
Hassan di talian 0193491233 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak
03-61262222,” tegasnya.-MalaysiaGazette