Ahmad Yakub

KOTA BHARU – Rakyat Kelantan menyatakan kerinduan mereka untuk menatap dan mendengar suara Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub menyampaikan sebarang ucapan atau amanat sepanjang dibelenggu dengan pandemik Covid-19.

Mereka mendakwa, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan itu dikatakan belum menyeluruh turun ke kawasan untuk meninjau keadaan dan melihat nasib rakyat.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Wan Mohd Azizul memohon jasa baik Ahmad membuat siaran langsung secara maya, bercakap terus dengan rakyat Kelantan dalam waktu terdekat ini.

“Dalam keadaan begini kita perlukan suara pimpinan dan seorang leader untuk bercakap dengan rakyat. Memahami perasaan rakyat, mendengar rintihan rakyat.

“Bukan setakat papar status dan kongsi poster, nombor telefon wakil ADUN, pejabat DUN untuk bantuan.

“Kami perlukan suara seorang pemimpin yang dekat di hati rakyat,” katanya menerusi luahan yang kongsi menerusi aplikasi Whatsapp, hari ini.

Menurut Wan Mohd Azizul, jika Menteri Besar itu tidak mahu berucap dalam bentuk perutusan atau amanat secara maya, membaca doa pun sudah memadai untuk rakyat melepaskan rasa rindu kepada pemimpin.

Katanya, muncul di khalayak dalam tempoh 10 minit seminggu pun sudah cukup dengan kata-kata semangat dan doa yang boleh menenangkan jiwa serta perasaan rakyat yang dirundum pandemik Covid-19.

“Kalau Datuk (Ahmad) tak sey (tidak mahu) buat text (perutusan atau amanat) atau berucap, sekadar buat live membaca doa dan memberi kata-kata semangat untuk rakyat Kelantan pun tak apa doh (dah).

“Tak lama, 10 minit pun cukup dah setiap minggu. Tenangkan rakyat dengan kata-kata semangat dan doa. Setakat ini tidak ada seorang pun pimpinan negeri yang dekat di hati rakyat Kelantan ni.

“Datuk sebagai Menteri Besar Kelantan, mempunyai tanggungjawab ini untuk memimpin kami rakyat Kelantan di kala musibah Covid ini. Bersuaralah walaupun sekadar live membaca doa dan bercakap seminit dua untuk rakyat,” ujarnya.

Beliau juga Ahmad diminta menetapkan satu tarikh untuk berkongsi dengan rakyat apa yang terbuku di hatinya sebagai pemimpin sepanjang menangani pandemik Covid-19.

“Keceklah (bercakaplah) dengan rakyat hak (yang) gelisah dan tak tenang duduk dah nih (sekarang ini). Tak banyak pun hak (yang) diminta. Hanya ucapan seorang pemimpin dan khalifah untuk rakyat Kelantan (sahaja),” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast