Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Pelbagai usaha kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19 tidak akan berhasil sekiranya rakyat sendiri tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Menurut Biro Media Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Norzaidi Zakaria, semua pihak perlu menyalahkan diri sendiri sebelum menyalahkan orang lain apabila berlaku lonjakan kes Covid-19 setiap hari.

“Kita sepatutnya perlu lebih serius.

“Orang ramai perlu beranggapan mereka adalah pembawa atau pesakit Covid-19 sehingga dibuktikan sebaliknya supaya kita sentiasa boleh tanamkan sifat tidak keluar rumah jika tiada urusan penting, mengamalkan kebersihan diri yang baik serta memakai pelitup muka.

“Selagi kita tidak buat semua perkara itu, selagi itulah kita tidak boleh salahkan sesiapa sekiranya virus ini semakin menular,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Dr. Norzaidi, beliau pernah berdepan dengan kes yang mana seorang pekerja kilang yang perlu menjalani kuarantin di rumah tetapi melanggar perintah tersebut dengan mengunjungi rumah keluarganya yang tinggal berdekatan.

Susulan itu, seluruh ahli keluarga termasuk ibu bapanya telah dijangkiti Covid-19.

Bapanya yang telah pun mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19 meninggal dunia manakala ibunya menjadi korban virus itu, lima hari kemudian.

Dalam masa yang sama, empat ahli keluarga lain yang pada mulanya didapati negatif Covid-19 telah disahkan positif pada hari kelima.

“Implikasinya besar kepada orang tidak berdosa. Saya boleh katakan, mereka tidak bersalah kerana mereka duduk di rumah tetapi dikunjungi oleh orang lain yang melanggar SOP.

“Perkara ini biasa berlaku terutama apabila kita tinggal berdekatan dengan ahli keluarga tetapi semua pihak perlu bertanggungjawab bagi memastikan rantaian Covid-19 terputus,” katanya lagi.

Katanya, beliau faham tekanan rakyat yang terpaksa berkurung sejak sekian lama namun sekatan pergerakan adalah langkah paling penting untuk memutuskan rantaian Covid-19.

Ini terutamanya apabila kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk negara ini masih rendah.

Selain itu, Dr. Norzaidi amat berharap kerajaan serius dalam menutup aktiviti ekonomi terutamanya kilang-kilang tidak penting yang menjadi penyumbang kepada penularan Covid-19.

Ujarnya, usaha penyekat pergerakan sebahagian aktiviti ekonomi dan rakyat akan menjadi sia-sia sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dilaksanakan dengan betul.

Ini terbukti apabila pelaksanaan PKP 3.0 hanya berjaya mengekang kes baharu melonjak melepasi puluhan ribu kes sehari tetapi gagal menurunkan angka tersebut ke paras selamat dan meringankan beban berat yang sedang ditanggung sistem kesihatan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast