KULAI – Seorang warga emas dan anaknya dikejarkan ke Hospital Kulai malam tadi selepas muntah dan pening kepala dipercayai akibat terhidu tumpahan kimia di Kampung Baru, Sengkang, Kulai.
Seorang ahli keluarga mangsa, Anuar Sain, 36, berkata, ibu mentuanya, Azizah Mohamed, 61, serta adik iparnya, Amirah Natasha Johari, 19, dikatakan sesak nafas kira-kira pada jam 8.30 malam tadi.
“Masa saya balik kerja saya bau macam orang bakar sampah tiba-tiba kakak saya panggil cakap, belakang rumah ini ada cecair warna hitam mengalir, kemudian adik ipar saya pergi masuk dan lihat kemudian baru kami telefon pihak bomba.
“Kami siasat sampai kawasan ini, adik ipar saya dalam pukul 8 dia loya-loya muntah kami nak bawa dia ke hospital sambil tu kami beri dia hidu bau minyak angin,”katanya.
Pagi tadi, media melaporkan, sebuah tangki bersaiz 1,000 liter mengandungi bahan kimia di sebuah stor di Jalan Besar, Kampung Baru, Sengkang pecah mengakibatkan bahan itu mengalir ke sungai berhampiran.
Tumpahan berkenaan dipercayai bahan kimia dari jenis Methyltriocdylam monium chloride, Hydrogen Peroxide Solution dan N-Methyl Cyclohexylamine, namun Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih membuat pemeriksaan.
Menurut Anuar, beliau dan ahli keluarga mula menyedari bau busuk berkenaan sejak jam 6.30 petang semalam.
Ketika itu, jelasnya, beliau baru pulang dari tempat kerja sebelum ternampak warna Sungai Sengkang bertukar kehitaman pekat. – Malaysiagazette