Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Peruntukan Bantuan Bakul Makanan yang diumumkan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi negeri Pulau Pinang akan diagihkan mulai Jumaat ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) negeri bagi mendapatkan garisan panduan memperoleh bekalan bakul makanan tersebut.

Jelas beliau, bagi kawasan Tanjung pihaknya akan memutuskan pembekal bagi mendapatkan barang mengikut garis panduan yang ditetapkan pihak ICU.

“Kita akan mula agihkan bakul makanan itu pada hari Jumaat ini sekitar Tanjung iaitu melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri Padang Kota, Pengkalan Kota serta Komtar.

“Agihan akan dibuat kepada golongan B40 yang telah dikenal pasti layak dan penduduk juga boleh ke pusat khidmat untuk membuat pendaftaran bagi kita meneliti senarai,” katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Bandaraya di sini hari ini.

Pada 28 Jun lalu MalaysiaGazette melaporkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen termasuk ahli Parlimen pembangkang sebagai tambahan kepada program Bantuan Bakul Makanan sedia ada di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan itu bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.

“Dalam soal menyampaikan bantuan kepada rakyat, saya mengambil sikap untuk mengetepikan perbezaan politik. Baik ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang, semuanya mestilah memikul tanggungjawab bersama untuk membantu rakyat di kala ramai yang sedang menanggung kesusahan.

“Gunalah peruntukan ini sebaik mungkin untuk membantu rakyat yang memerlukan di kawasan parlimen masing-masing,” katanya dalam perutusan khas.

Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan RM10 juta bagi tujuan melaksanakan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli. – MalaysiaGazette