KITA masih belum menang dalam melawan wabak COVID 19. Pelbagai usaha dan
perancangan telah dilakukan untuk membendung wabak ini dari terus merebak. Virus ini juga dikenali sebagai SARS-CoV-2 telah memberikan impak yang besar terhadap ekonomi dan kesihatan manusia diseluruh pelusuk dunia. Ada negara yang berjaya membendung wabak ini dan ada juga negara yang sedang bertungkus lumus membanteras virus ini dalam pelbagai aspek terutamanya strategi vaksinasi.
Berdasarkan kajian dan pengetahuan terkini, terdapat beberapa kaedah bagaimana
wabak ini boleh berlaku. Kaedah utama penularan adalah melalui titisan pernafasan bersaiz mikron yang dilepaskan dari saluran pernafasan manusia ketika batuk, bersin, atau bercakap. Kaedah kedua penularan virus SARS-CoV-2 adalah melalui sentuhan pada permukaan yang telah dicemari virus ini yang kemudian menjangkiti melalui mata, hidung, dan mulut mereka setelah menyentuhnya dengan tangan. Kaedah diatas kebanyakan orang sudah mengetahui tentang penyebarannya.
Walau bagaimanapun, terdapat kaedah lain yang ramai masyarakat tidak cakna atau ambil tahu tentangnya iaitu laluan alternatif jangkitan SARS-CoV-2 melalui makanan kerana virus ini dapat bertahan selama berhari-hari, terutama ketika persekitrannya
tidak bersih. Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa virus SARS-CoV-2 ditemui dalam makanan dan juga di dalam najis manusia. Sejauh mana virus ini mampu menjangkiti manusia masih belum ada data yang meyakinkan. Hingga kini, belum ada bukti yang disahkan mengenai penularan SARS-CoV-2 melalui pengambilan makanan dan air yang tercemar.
Bila berbincang berkaitan makanan, ianya melibatkan proses yang banyak
termasuklah makanan mentah, makanan dan kabinet sejuk beku, makanan siap dimakan,
makanan berbungkus, proses pembungkusan, permukaan yang biasa disentuh, bakul membeli belah, terminal pembayaran dan banyak lagi. Kesemua rantaian ini berisiko berlakunya pencemaran kepada makanan dari sentuhan dengan pekerja dan lingkungan sekitar yang berbeza.
Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa virus SARS-CoV-2 bertahan dan stabil
pada permukaan mati termasuklah pembungkus makanan dan permukaan yang sering
disentuh sepanjang proses menghasilkan makanan. Kajian terhadap daya hidup virus pada permukaan mati menunjukkan yang virus ini lebih tahan lama pada permukaan licin berbanding permukaan berpori. Contohnya, virus SARS-CoV-2 boleh bertahan berhari-hari pada permukanan keluli, tetapi pada permukaan tembaga dan aluminium ianya bertahan sehinga 4 jam sahaja.
Berkaitan dengan sampel makanan, sekumpulan pengkaji dari China pada tahun 2020
melaporkan, virus SARS-CoV-2 ditemui pada pembungkusan udang beku, makanan laut dan ayam. Penemuan ini menunjukkan sebaran virus adalah berkaitan dengan pencemaran sepanjang proses pembungkusan, bukannya disebabkan oleh memakan makanan tersebut. Penyelidik yang sama telah melaporkan hasil kajian terhadap epal, tomato dan lada yang dijangkiti virus SARS-CoV-2 secara eksperimen melalui simulasi pendedahan terhadap dos rendah aerosol.
Selepas 1 jam pendedahan, didapati tidak ada virus SARS-CoV-2 ditemui pada makanan tersebut. Maklumat in menunjukkan bahawa tiada risiko atau risiko yang teramat rendah berlaku penularan virus ini melalui makanan. Terdapat kajian lain yang berkaitan dengan menentukan kehadiran RNA virus SARS-CoV-2 pada produk makanan yang didedahkan secara langsung kepada individu yang positif SARS-CoV-2. Eksperimen dijalankan dengan meletakkan buahan dan sayuran ke dalam dulang di hadapan pesakit COVID-19 selama 30 minit.
Sepanjang tempoh itu, pesakit berbual seperti biasa. Hasil kajian ini melaporkan tidak ada RNA virus SARS-CoV-2 yang dikesan pada makanan tersebut selepas 1 jam berlaku pendedahan pada suhu 34°C selama 30 minit. Hasil kajian ini menyimpulkan bahawa penularan SARS-CoV-2 melalui buah-buahan dan sayur-sayuran yang terdedah kepada pesakit COVID19 adalah satu perkara yang tidak mungkin untuk berlaku. Satu kajian berkaitan dengan tisu atau organ binatang telah dijalankan di German pada tahun 2020 melibatkan 9 ekor khinzir dan 12 ekor ayam yang telah diinokulasi dengan SARS-CoV-2. Hasil Analisa tisu dan daging binatang tersebut didapati semua sampel adalah negatif terhadap SARS-CoV-2.
Adalah diakui kajian yang ada sekarang ini masih belum banyak untuk menyokong
pendapat yang mengatakan jangkitan tidak boleh berlaku melalui daging atau tisu yang
dijangkiti. Ini boleh menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan makanan samada di peringkat tempatan atau antarabangsa. Namun, saintis menyuarakan untuk berlakunya risiko jangkitan bawaan makanan pada manusia apabila kepekatan virus SARS-CoV-2 pada organ dan tisu yang boleh dimakan adalah tinggi. Pada masa yang sama SARS-CoV-2 perlu kekal tahan sepanjang proses penyediaan makanan.
Secara kesimpulannya, penularan virus SARS-CoV-2 melalui makanan belum dapat
dibuktikan. Hasil kajian yang ada menunjukkan penularan SARS-CoV-2 masih boleh berlaku melalui sentuhan melibatkan permukaan yang tercemar sepanjang proses penyediaan dan pengeluaran makanan. Manakala risiko penularan melalui memakan makanan yang tercemar adalah rendah. Namun, masih banyak persoalan dan ketidakpastian mengenai kehadiran virus SARS-CoV-2 dalam pengeluaran dan pengedaran makanan.
Data berkaitan jangka masa SARS-CoV-2 dapat bertahan pada permukaan makanan atau dalam makanan juga amat terhad. Oleh itu, setiap pihak yang terlibat dalam proses penyediaan makanan samada dalam skala yang kecil atau besar dan makanan mentah atau masak amat perlu untuk mencegah penularan SARS-CoV-2. Langkah yang utama adalah memastikan kebersihan diri yang betul dan berterusan termasuklah memakai peralatan pelindung (PPE), amalan mencuci tangan dan pengurusan sisa yang selamat. Kemungkinan pencemaran juga dapat dikurangkan dengan mencuci makanan di bawah air yang mengalir.
Di samping itu, semua barang makanan termasuk daging, ikan, dan makanan laut yang disimpan pada suhu rendah atau sejuk beku perlu diperiksa untuk memastikan keselamatan makanan terhadap SARS-CoV-2. Kaedah lain adalah dengan merosakkan struktur virus SARS-CoV-2 bagi menjadikannya tiada daya hidup iaitu dengan memanas makanan pada suhu melebihi 70◦C paling kurang dalam tempoh 5 minit atau menggunakan gelombang UV pada julat minima 260 nm selama 6 min.
Industri pengeluaran makanan juga perlu memastikan protokol pembasmian kuman dilaksanakan di persekitaran kerja dan pada permukaan yang sering bersentuhan dengan semua proses penyediaan makanan. Kesesakan pekerja juga perlu dihadkan dan pekerja yang tidak sihat perlu dihalang dari bekerja agar penularan SARS-CoV-2 dapat dicegah dalam industri makanan.
Allah SWT juga berfirman dalam Surah al-Mukminun ayat 51 yang bermaksud “Wahai
Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal
soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan”.
Ayat ini menerangkan tentang para Rasul dan umat mereka diperintahkan untuk memilih
makanan yang baik yang halal dan beramal dengan amalan soleh. Ini kerana, apabila
makanan itu halal maka sudah tentu amalan soleh akan diterima oleh Allah. Begitu juga
perintah ini ditujukan kepada sekalian manusia supaya makanlah makanan yang halal bersih dan baik. Makanan yang baik dan bersih amatlah penting untuk menjaga diri dan keluargadari sebarang penyakit. Marilah kita bersama sama menjaga kebersihatan terutamanya dalam aspek pemakanan, lebih lebih lagi sewaktu pandemik yang melanda dunia ini. Ini adalah kerana kebanyakan penyakit bermula daripada pemakanan. Wallahualam.
Penulis,
Prof Madya Dr Nik Rosmawati Nik Husain (MD, MCM, PhD)
Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains
Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) &
Dr Aspalilah Alias (DDS,MMEDSC,PhD)
Pensyarah Anatomi, Fakulti Pergigian,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).