Gambar hiasan

TOKYO – Harga minyak jatuh dalam dagangan pada hari ini dengan Brent turun setelah empat hari menyaksikan kenaikan kerana pelabur dan peniaga menunggu perbincangan penting oleh OPEC+ berikutan ketidaksepakatan dalam kumpulan yang boleh menyebabkan pengeluar utama menaikkan jumlah pengeluaran untuk merebut penguasaan pasaran.

Minyak mentah Brent turun AS$0/40 atau 0.5% kepada AS$75.77 setong pada 0131 GMT, setelah turun 1 sen minggu lalu, penurunan mingguan pertama dalam enam.

Sementara minyak Amerika Syarikat susut AS$0.30 atau 0.4% kepada AS$74.86 setong, meningkat 1.5% pada minggu lalu, minggu keenam berturut-turut kenaikan kontrak.

Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, yang dikenali sebagai OPEC+, memilih pada hari Jumaat untuk meningkatkan pengeluaran sekitar 2 juta tong sehari dari bulan Ogos hingga Disember 2021 dan melanjutkan pemotongan pengeluaran yang selebihnya hingga akhir 2022, tetapi menerima bantahan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), sekali gus menghalang perjanjian tersebut.

Ketidaksepakatan itu jarang berlaku dalam kalangan kumpulan itu, dengan kepentingan nasional semakin berbeza, yang mana mempengaruhi dasar OPEC+ kerana pengguna minyak menginginkan lebih banyak minyak mentah ketika ekonomi semakin pulih daripada wabak Covid-19.

“Langkah terbaru ini meningkatkan standard bagi persekutuan OPEC+, yang telah menunjukkan perpaduan besar yang akhirnya membantu mengimbangi pasaran berikutan kejatuhan permintaan,” kata ANZ Research dalam nota penyelidikannya.

Menurut firma penyelidikan itu, perpecahan yang berlaku boleh mengakibatkan kebebasan untuk semua yang kemungkinan akan menyebabkan berlaku kejatuhan harga minyak. – MalaysiaGazette