Setiausaha Politik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat berkaitan video pemilik akaun Facebook Lokman Adam membuat fitnah dan hasutan kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 05 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan (Keselamatan),  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mahu polis menyiasat dan mengambil tindakan ke atas Datuk Lokman Noor Adam yang mendakwa beliau cuba meyakinkan 28 lagi ahli Parlimen UMNO untuk bersama-sama menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ekoran itu, setiausaha politiknya, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi terhadap Lokman hari ini.

Bercakap kepada pemberita, Syed Mohd Fazmi berkata, setelah meneliti isi kandungan video tersebut beliau mendapati dengan jelas Lokman telah memfitnah Ismail Sabri yang merupakan Menteri Pertahanan dan juga Naib Presiden UMNO.

“Saya diberitahu oleh YB Datuk Seri Ismail Sabri bahawa beliau tidak pernah membuat sebarang penyataan-penyataan yang dihuraikan Lokman dalam video tersebut,” katanya.

Lokman  yang merupakan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO tidak lagi berada dalam parti kerana telah dipecat.

Tambah beliau, Lokman membuat tuduhan kononnya Ismail Sabri cuba meyakinkan 28 ahli-ahli Parlimen UMNO untuk menjadi calon Bersatu jika tidak dipilih sebagai calon UMNO pada PRU-15 akan datang.

“Dia (Lokman) menyatakan beberapa ayat fitnah antara lain yang berbunyi “untuk makluman tuan-tuan,lagi menyedihkan ketika menteri PKP ni cuba meyakinkan dan sampai ke tahap tuan-puan mengatakan bahawa sekiranya kita tidak dipilih menjadi calon pilihan raya yang akan datang, bila-bila masa kita boleh menjadi calon parti Bersatu yang hari ini kita tahu tidak cukup orang yang berwibawa.’,” katanya.

Menurutnya, pelbagai lagi tuduhan dan cacian yang dilemparkan Lokman terhadap Ahli Parlimen Bera itu.

Katanya, disebabkan fitnah melampau itu, beliau segera tampil membuat laporan polis untuk memohon pihak berkuasa membuat siasatan dan seterus pendakwaan ke atas Lokman seperti fitnah yang dinyatakan dalam link video berkenaan.

Beliau memohon polis menyiasat mengikut akta-akta berkaitan dengan fitnah (Akta Hasutan 1948 , Akta AntiBerita Tidak Benar (Akta 803) dan Akta SKKM (Akta1998) kerana secara jelas beliau telah sewenangnya membuat tuduhan terbuka dan menyebabkan kerosakan kepada imej Ismail Sabri.

“Tuduhan tidak berasas itu menjejaskan reputasi, imej dan kedudukan Ismail Sabri selaku Naib Presiden UMNO dan menteri kanan.

“Kami mendapati sehingga saat ini, video itu masih wujud dalam akaun FB Lokman Adam dan tidak dipadamkan lagi.

“Kita juga telah mengemukakan link video fitnah Lokman itu kepada pegawai penyiasat untuk meneruskan siasatan kes ini secara adil dan telus,” tegasnya.-MalaysiaGazette