KUALA LUMPUR – Kira-kira 3,000 orang khususnya golongan B40 dan yang memerlukan dalam kawasan Bandar Tun Razak dijangka menerima bantuan bakul makanan yang diperuntukkan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).
Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, beliau atau akan cuba menambah jumlah pemberian bakul makanan dengan mendapatkan barangan keperluan asas yang lebih murah bagi membolehkan lebih ramai mendapat bantuan tersebut.
“Kalau mengikut yang diberi panduan daripada Jabatan Perdana Menteri setiap bakul nilainya RM100, dengan peruntukan RM300,000 jadi 3,000 bakul makanan boleh kita sampaikan.
“Tapi saya akan cuba mendapatkan sumbangan dan bantuan daripada pihak-pihak lain supaya jumlah bakul kita boleh tambah dari 3,000. Atau kita cuba dapatkan bahan-bahan yang kita edar supaya nilainya lebih murah jadi lebih banyak barang dapat disedia,” katanya pada sidang media hari ini.
Terdahulu Kamaruddin hadir di Dewan Merdeka, Jalan Suasa 3 di Pekan Sungai Besi untuk menyerahkan 50 bakul makanan kepada penduduk Parlimen Bandar Tun Razak yang terkesan akibat penularan Covid-19.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi setiap Ahli Parlimen untuk program Bantuan Bakul Makanan.
Peruntukan berkenaan turut diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Sementara itu, Kamarudin meminta penduduk di kawasan itu menghubungi pegawai pejabatnya agar bantuan dapat disalurkan dengan segera.
“Pihak kita di Parlimen ini saya harap rakyat kawasan ini juga seluruh negara yang menghadapi keadaan memerlukan jangan sekali-kali bimbang atau malu untuk menghubungi pegawai-pegawai di pejabat Parlimen masing-masing.
“Kita di pejabat Parlimen ini ramai sukarelawan dan pekerja-pekerja yang akan membantu rakyat untuk keperluan asas masing-masing,” ujarnya.-MalaysiaGazette