Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo menyampaikan sumbangan barang keperluan asas kepada 30 keluarga ketika di PPR Sentul Murni, Bandar Baru Sentul. Foto MOHD ADZLAN, 05 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Polis akan memperketatkan kawalan keselamatan di 19 lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di ibu negara bagi mengelak insiden penduduk meloloskan diri berulang.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Yong Lei Choo berkata, pihaknya memandang serius insiden dua individu menyusuri kawat duri yang diletakkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Pantai Dalam, semalam.

“Kami masih berusaha menjejaki dua individu yang dikenalpasti sebagai penagih dadah melarikan diri memotong kawat duri yang dipasang di kawasan belakang perumahan awam itu sebelum berjaya melarikan diri.

“Butiran identiti kedua-dua suspek yang mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau dadah dan jenayah sudah dikenalpasti dan kita sedang giat memburu mereka.

“Anggota polis telah diperhebatkan untuk menangkap kedua-dua individu itu dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan agensi penguatkuasa lain,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis penyerahan sumbangan bekalan makanan kepada 30 penduduk di PPR Sentul Muri, Bandar Baru Sentul, di sini, hari ini.

Hadir pada majlis Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Menurut Lei Choo, setakat ini kawalan di PKPD lokaliti lain di ibu kota terkawal dan tidak ada insiden seumpama itu berlaku.

“Kita akan bekerjasama dengan agensi lain seperti anggota tentera dan KKM (Kementerian Kesihatan) serta Angkatan Pertahanan Awam di setiap lokaliti mengelak insiden seumpama berulang lagi,” katanya. – MalaysiaGazette