Halijah Naemat ditemani suaminya, Mohd Rusni Khaman yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) memasang bendera putih di hadapan rumah mereka bagi membolehkan orang awam tampil menyalurkan bantuan susulan berdepan dengan kesusahan kesan pandemik Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pangsapuri Petaling Perdana, Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – “Mak cik ingat bila pasang bendera putih, orang kaya tak pun menteri yang datang beri bantuan tapi jiran sini yang keluarkan duit mereka tolong.”

Itu luahan warga emas, Halijah Naemat, 74,  salah seorang penghuni di Blok J, Pangsapuri Petaling Perdana, Sri Manja dekat sini yang mengibarkan bendera putih di tingkap rumahnya dengan harapan ada insan yang sudi untuk menghulurkan bantuan kerana kesempitan hidup kesan pandemik Covid-19.

Halijah yang mengetahui tentang kempen bendera putih selepas dimaklumkan oleh salah seorang jirannya di blok tersebut.

Halijah Naemat yang memasang bendera putih di hadapan rumahnya di Pangsapuri Petaling Perdana, Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JULAI 2021.

“Mak cik tak tahu sebenarnya pasal bendera putih ini tapi ada jiran India beritahu gantunglah bendera untuk dapat bantuan jadi mak cik pun buatlah.

“Sebab itu, mak cik ingat orang kaya-kaya yang akan datang untuk membantu tapi sebenarnya jiran di sini yang sama-sama kutip duit dan berikan pada mak cik. Kalaulah mak cik tahu mereka (jiran-jiran) yang bagi, mak cik memang tak mahu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Halijah, keluarga kecilnya itu berdepan kesukaran hidup selepas suami, Mohd Rusni Khaman, 58, diberhentikan kerja ketika awal pandemik.

Halijah kini hanya bergantung harap dengan anak lelakinya yang berusia 25 tahun untuk menyara keluarga selepas suaminya tidak lagi mampu untuk bekerja kerana kaki kanannya dipotong akibat kencing manis.

Halijah berkata, anak lelakinya itu sedang melanjutkan pelajaran di sebuah universiti sambil melakukan kerja sambilan.

“Sejak Covid-19 mak cik terpaksa catu makanan, hanya makan pada waktu tengah hari dan malam sahaja, tak ada sarapan pagi. Terpaksalah begini sebab risau tak cukup makanan.

“Apa yang orang bagi seperti minyak dan beras terpaksalah jimat, guna sedikit sahaja. Kalau ada orang bagi ayam, seketul untuk anak dan seketul lagi untuk pak cik. Mak cik sekadar makan nasi dengan telur masin,” ujarnya.

Selain Halijah, seorang lagi penduduk, Puvaneswaran Veeran, 29, turut memohon sekiranya ada pihak berkaitan yang sudi menghulurkan bantuan kepada keluarganya.

Puvaneswaran tidak bekerja sejak awal Jun lalu selepas diberhentikan oleh majikannya.

Penduduk, Puvaneswaran Veeran memasang bendera putih di hadapan rumahnya bagi membolehkan orang awam tampil menyalurkan bantuan susulan berdepan dengan kesusahan kesan pandemik Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pangsapuri Petaling Perdana, Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JULAI 2021.

“Sebelum ini, saya bekerja sebagai penghantar barang alat ganti di sebuah syarikat tapi sebab lockdown berterusan saya hilang kerja.

“Bil elektrik rumah pun sudah tertunggak lebih tiga bulan. Nak cari kerja ketika musim Covid-19 ini pun susah.

“Kalau ada yang sudi bantu kami datanglah ke sini, bukan saya seorang sahaja tapi ramai lagi yang terkesan akibat Covid-19 ini,” kata bapa kepada seorang anak berusia setahun itu.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Neeta Sukumaran, 37, turut mengibarkan bendera di hadapan pintu rumahnya sebagai tanda memohon pertolongan daripada orang ramai.

Jelas Neeta, pendapatan suaminya yang bekerja sebagai seorang pemandu lori juga tidak menentu sejak Covid-19 melanda negara.

Neeta Sukumaran yang memasang bendera putih di hadapan rumahnya di Pangsapuri Petaling Perdana, Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JULAI 2021.

“Orang kata bila sudah dapat bantuan kena turunkan bendera putih, tadi saya ada dapat sedikit barangan asas lepas itu saya terus turunkan bendera.

“Bukan saya sahaja yang terkesan tapi jiran di sekeliling juga sama. Macam jiran depan ini dia seorang ibu tunggal yang tinggal bersama dua anaknya.

“Dia sebelum ini hanya bekerja bersihkan rumah orang jadi sudah lockdown ini tak boleh ke mana-mana, tak boleh buat apa-apa kerja,” katanya.

Ketika ditanya sama ada dia malu untuk mengibarkan bendera putih, Neeta berkata, itu sahaja cara yang ada buat masa ini untuk meraih pertolongan.

“Memang rasa segan pada mulanya tapi saya yakin apa yang kami buat tidak salah, kami hanya mahukan bantuan sewajarnya jika ada yang sudi datang tolong,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast