Steven Sim

KUALA LUMPUR – Tawaran moratorium yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Pakej Perlindungan Rakyat & Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bukanlah yang dikehendaki dan diperlukan oleh rakyat.

Ini kerana, ia bukan moratorium automatik yang dituntut oleh rakyat kerana pemohon masih perlu memohon dengan pihak bank.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong mempersoalkan mengapa selepas seminggu pengumuman oleh Perdana Menteri, masih tiada sebarang kenyataan daripada Bank Negara tentang pelaksanaan moratorium kali ini.

”Adakah ini bermakna, kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak bank untuk menentukan cara pelaksanaan? Adakah setiap bank bebas menetapkan syarat permohonan, pengiraan faedah, tempoh bayaran balik dan sebagainya?

”Jika benar, adakah bank akan berpihak kepada rakyat sedangkan menteri sendiri sudah beberapa kali mengeluarkan kenyataan yang menjaga kepentingan serta keuntungan bank?,” soal beliau dalam kenyataan di sini.

Menurut Sim, moratorium yang diumumkan baru-baru ini juga bukan moratorium tanpa syarat seperti yang diuar-uarkan kerana antara syarat utama yang menjadikan moratorium ini mustahil dimanfaatkan oleh rakyat yang paling memerlukan kerana peminjam yang mempunyai tunggakan sebelum ini tidak layak untuk mendapatkan moratorium.

Sedangkan, rakyat telah menuntut moratorium automatik sejak tahun lalu kerana sudah tidak mampu lagi membayar pinjaman bank.

”Apabila moratorium akhirnya diumumkan, golongan yang paling tidak mampu membayar pinjaman berbulan-bulan ini mendapati bahawa mereka tidak layak untuk moratorium. Jadi apakah fungsi moratorium terbaru ini?

”Sekadar cantik dilihat, sedap didengar, tetapi tidak dapat memberi manfaat sebenar kepada golongan yang paling memerlukan,” ujar beliau lagi.

Sim menambah, moratorium itu juga bukan moratorium tanpa faedah yang dituntut kerana mereka masih tertakluk kepada faedah sepanjang tempoh penangguhan.

Kadar faedah pula bergantung kepada bank masing-masing termasuk jenis produk pinjaman yang ditawarkan kepada pelanggan.

Dalam kata lain, jika mendapat moratorium sekalipun, keuntungan bank tetap terpelihara.

Akhirnya, peminjam terpaksa membuat bayaran bulanan yang lebih tinggi selepas tempoh moratorium, ataupun melanjutkan tempoh hutang.

Mengulas lanjut, Sim mengingatkan institusi perbankan negara bahawa semasa krisis ekonomi 1985-88 dan 1997, kerajaan menggunakan berpuluh-puluh bilion ringgit sumber wang negara dan wang cukai rakyat untuk menyelamatkan bank.

Kini apabila rakyat sedang susah, takkan kerajaan hanya menjaga kepentingan bank dan bank hanya risau tentang keuntungan mereka semata-mata.

Tegasnya, Kerajaan Perikatan Nasional berkali-kali menolak untuk melaksanakan moratorium automatik sejak tamatnya moratorium pertama pada bulan September 2020.

Malah kerajaan memberi alasan seolah-olah hanya berminat untuk menjaga kepentingan serta keuntungan pihak bank.

Hakikatnya, sektor perbankan masih lagi mempunyai untung besar RM23 bilion pada tahun 2020 walaupun telah memberikan moratorium automatik enam bulan dan seterusnya moratorium bersyarat.

Pada tahun sebelumnya sektor ini mencatat keuntungan RM32 bilion sedangkan rakyat sudah terpaksa memecah tabung simpanan hari tua melalui pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM78 bilion.

”Jika rakyat boleh berbelanja RM78 bilion, takkan pihak bank tidak boleh berkorban sedikit?,” tanya beliau lagi. – MalaysiaGazette