Pemandangan ruang udara kawasan sekitar Tasik Chini yang terhakis kesan aktiviti perlombongan di Pekan, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 25 JUN 2021.

Aktiviti perlombongan di sekitar Tasik Chini bukan berlaku sekelip mata cuma mutakhir ini ia baru menjadi isu.

Secara logiknya, ia tidak memerlukan gambar yang dirakam dari dron untuk membuktikan kegiatan yang telah bertahun-tahun berlaku.

Orang luar yang pertama kali datang ke situ dari kejauhan jelas nampak bukit yang telah lama “gondol”.

Apatah lagi, anggota penguatkuasa yang tugas hakikinya menjaga kelestarian Taman Negeri Tasik Chini diwartakan sebagai Hutan Simpan Chini mulai Mac 2019 dan kini dicadangkan sebagai kawasan baharu Rizab Biofera Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Jika didekati, salah satu dari beberapa lombong di situ berada betul-betul di hadapan Pusat Penyelidikan Tasik Chini yang ditubuhkan di bawah Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menjalankan kajian saitifik dan kerja lapangan pengajaran mengenai kepelbagaian biologi, fungsi ekosistem dan pengurusan tasik bersepadu.

Selepas sekian lama ditarah, mengapa baru sekarang ramai pihak daripada aktivis alam sekitar sehingga kepada wartawan mengangkat aktiviti perlombongan di platform media sehingga menjadi tular?

Seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Hakikatnya dari saat mengemukakan permohonan dibuat sehingga ke hasil bumi diangkut keluar, macam-macam agensi teknikal terbabit sama ada dari peringkat negeri dan persekutuan seperti Jabatan Mineral & Geosains (JMG), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), Badan Kawal Selia Air, Jabatan Perhilitan Negeri (JPN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Ia bukan perkara mudah!

Ketika ditemuramah Malaysia Gazette, Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkipli menjelaskan kerja-kerja berkaitan dan pemantauan yang dibuat dari pelbagai segi mengikut bidang kuasa agensi berkaitan.

Tertanya-tanya mengenai isu yang timbul kerana ia membangkitkan macam-macam persoalan terhadap apa yang digembar-gembur seolah-olah “aktiviti haram” ini begitu mudah dibuat.

Dalam kenyataannya Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang menjelaskan, 14 kawasan lombong telah diluluskan sebelum penwartaan Hutan Simpan Chini pada 13 Mac 2019.

Selepas itu, tiada lesen baharu dikeluarkan.

Sehingga kini, hanya dua lombong yang masih beroperasi tetapi aktivitinya sekarang dihentikan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)3.0.

Ia menjadi sensasi kerana ketika pada awal-awal ia diumumkan 12 Mei lalu, tiada perincian jelas mengenai status perlombongan sama ada ia termasuk dalam kategori perkhidmatan perlu atau sebaliknya.

Ketika itu aktiviti melombong didakwa berjalan dan kenderaan yang mengangkutnya dilaporkan masih keluar masuk.

Namun selepas kerajaan memberi perincian, aktivitinya dikatakan telah dihentikan.

Susulan “pendedahan” di laman media sosial dan pelbagai media utama berlakunya ketidakpatuhan, ia telah mendapat reaksi serta merta kerajaan negeri.

Satu pasukan khas telah dibentuk untuk membuat pemantauan 24 jam secara berkala bagi memastikan segala arahan yang dikeluarkan dipatuhi.

“Selain Pejabat Daerah Pekan, Perhutanan, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar (JAS ), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) selain dari itu PDRM melalui IPD Pekan dan Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP), jadi aspek pemantauan 24 jam ini, kami telah merangka kaedah-kaedah untuk memantau di kawasan-kawasan yang terlibat dengan perlombongan” kata Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkipli.

Menurutnya lagi, segala kelengkapan telah digunakan bagi tujuan berkenaan yang dibuat secara menyeluruh dengan agensi berkaitan.

“ Pemantauan dibuat melalui darat, pemantauan juga dibuat melalui pemeriksaan snap chat sekatan jalanraya dan juga melalui dron yang kami terbangkan oleh jabatan terlibat dan juga pemantauan dari segi air dan tasik oleh JAS,” jelas beliau.

Kenyataan itu disokong Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Mohd Zaidi Mat Zin.

Katanya, sejak diperketatkan 14 Jun lalu, pasukan khas yang ditubuhkan untuk memperkemas pelbagai bentuk tindakan.

“ Kita tubuhkan satu task force terdiri dari pihak polis dan lain lain agensi untuk memastikan supaya semua pihak patuh kepada SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan. So far kita lebih menjurus kepada pemantauan supaya tidak ada aktiviti yang dijalankan dan tidak ada kenderaan dan lori yang keluar masuk membawa bahan-bahan perlombongan dari Chini ini” tegas Mohd Zaidi.

Berdasarkan bukti bergambar, tidak dapat dinafikan wujudnya elemen pencemaran.

Tarahan di kawasan berbukit dan cerun tidak dapat tidak memberi kesan kepada kauliti air di Tasik Chini.

Persoalan itu diajukan kepada Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang Mohd Sani Mat Daud.

Katanya, pemeriksaan dilakukan secara berkala di 15 stesyen di 12 laut di Tasik Chini

Program pengawasan telah bermula lama dulu iaitu sejak 2015.

“Kita memantau sebanyak 20 parameter yang terdapat dalam tasik ini termasuk sembilan dari logam berat contohnya BoD kandungan oksigen, CoD dan juga  sembilan parameter yang saya nyatakan tadi termasuklah arsenic, raksa, ferum, plumbum dan sebagainya”, katanya.

Semua contoh yang diambil akan dibawa ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk dianalisa.

Menurut Mohd Sani ujian dibuat sebulan sekali dan setakat ini, ia berada pada tahap dua, iaitu selamat untuk digunakan.

Selain membuat persampelan, ujian in situ turut dilakukan membabitkan empat ujian iaitu parameter ujian oksigen terlarut, kekeruhan, PH dan terakhir suhu.

Penjelasan itu sedikit sebanyak melegakan namun, usaha komprehensif perlu dibuat secara holistik untuk memberi nafas baru ke arah pemurnian alam semula jadi di sekitar Tasik Chini.

Bagi rakyat marhaen seperti Mohd Hazrul Hafiz atau lebih mesra dipanggil Along, amat berharap keaslian alam semula jadi di sekitar Tasik Chini, jangan lagi diusik dan masih meletakkan harapan usaha bersungguh-sungguh semua pihak akan dapat menggembalikan kegemilangannya sebagai salah satu destinasi pelancongan di negeri Pahang.

Sudahlah terkesan dengan pandemik Covid-19, penerokaan di sekitar dengan aktiviti perlombongan  selama ini telah memberi kesan amat besar kepada mata pencarian penduduk tempatan sepertinya.

“Kalau boleh buat macam dululah, dulu airnya jernih.

“Macam dulu baliklah. Sebab saya bawa bot pendapatan macam inilah, sekejap ada, sekejap tidak ada”, katanya ketika membawa kru Malaysia Gazette memudiki tasik misteri itu.

Harapan kami yang rata-rata pertama kali menjengah ke Tasik Chini, ia khazanah alam milik semua, jangan biar ia mati!

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast