Suasana sekitar kilang semasa dalam satu serbuan operasi Ops Patuh oleh agensi dibawah Kementerian Dalam Negeri di sebuah kilang besi di sekitar Subang Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 02 JULAI 2021.
Saudara Pengarang,
Bermula 3 Julai sehingga 16 Julai depan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di kawasan2 sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Di masa sama, media sosial dipenuhi dengan desakan #tutupkilang dan kritikan terhadap pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang didakwa ‘separuh masak’ dan menjadi punca peningkatan ketara kes-kes Covid-19, terutama apabila sektor tertentu seperti perkilangan tetap dibenarkan beroperasi.

Memang mudah melemparkan kritikan dan tuduhan, namun data sah yang direkodkan agensi tidak menyokong kritikan sedemikian.

Pertama, adalah tidak benar sektor perkilangan atau pembuatan menjadi punca utama peningkatan kes baharu Covid-19. Data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) menunjukkan daripada 507 kluster dikesan di negara ini dalam tempoh 1 hingga 23 Jun lalu, hanya 195 adalah berkaitan sektor pembuatan.

Ia bermakna sektor itu hanya menyumbang sekadar 9.3 peratus atau 12,872 kes daripada keseluruhan 138,649 kes yang direkodkan Kementerian Kesihatan dalam tempoh berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata, kira-kira 80 peratus daripada kes-kes jangkitan berkenaan adalah kes sporadik atau dalam maksud lain, punca jangkitan tidak dapat ditentukan.

Atas sebab itu, PKPD dilaksanakan di Lembah Klang untuk menangani penularan jangkitan sporadik yang menyumbang sebahagian besar daripada kes-kes kebelakangan ini, bukannya kluster di tempat kerja yang menyaksikan kes turun mendadak sejak PKP 3.0 dilaksanakan.

Apa pun, PKPD di Lembah Klang sudah pasti akan menyebabkan kesan ekonomi lebih buruk kepada penduduknya. Bimbang juga apabila terbaca laporan sesetengah media mengenai kes-kes bunuh diri yang dilaporkan meningkat yang dikatakan akibat tertekan disebabkan impak penularan Covid-19.

Terbaharu, ada pula kempen kibar ‘bendera putih’ oleh mereka yang dalam keadaan terdesak dan sangat memerlukan bantuan barang keperluan asas. Bendera itu sebagai isyarat untuk pelbagai pihak mendapat makluman dan kemudian menyalurkan bantuan.

Kini, kita hanya boleh menunggu apa kesan PKPD di hampir seluruh negeri Selangor dan Kuala Lumpur, iaitu kawasan yang menjadi nadi aktiviti ekonomi negara. Adakah akan ada lebih banyak ‘bendera putih’ dikibarkan?

Apa akan jadi kepada penjual nasi campur yang punca rezekinya daripada pekerja-pekerja kilang yang dilarang datang ke tempat kerja?

Bagaimana pula nasib pemandu lori yang mengangkut tepung dan beras sebagai punca rezeki jika permintaan untuk barang keperluan itu berkurangan kerana sesetengah pelanggannya terpaksa menutup sementara operasi di bawah SOP baharu? Bagaimana pula dengan nasib mereka yang mengusahakan aktiviti perniagaan huluan?

Ahli ekonomi dari Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng pernah dilaporkan berkata baru-baru ini,  ‘kerosakan terlalu banyak’ sudah berlaku dalam ekonomi negara, termasuk penutupan syarikat susulan pelaksanaan berulang-ulang PKPD.

Walaupun PKPD secara bersasar dilakukan besar-besaran kali ini boleh mengurangkan kes-kes jangkitan, tiada jaminan keadaan itu akan berkekalan apabila larangan-larangan yang dikenakan dalam perintah berkenaan ditarik balik suatu masa nanti. Berapa lama lagi kita akan mencari penyelesaian lapisan ‘permukaan’, sekali gus menghasilkan keputusan bersifat sementara, singkat atau kejayaan yang kecil.

Apa yang kita perlukan adalah tumpukan kepada program vaksinasi dan mempercepatkan usaha mencapai sasaran imuniti kelompok.

Kerajaan baru-baru ini berjaya memberi suntikan vaksin kepada hampir 300,000 penduduk sehari dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 400,000 pada Ogos ini. Usaha dilaksanakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) oleh kerajaan menyediakan cahaya di hujung terowong yang panjang dan gelap.

Walaupun vaksin bukan penyelesaian mutlak untuk menewaskan ancaman Covid-19, pengalaman dilalui negara-negara yang sudah memberi suntikan kepada peratusan besar rakyat mereka seperti United Kingdom, Bahrain dan Israel menunjukkan pelalian itu berjaya membawa semula kehidupan kepada norma lama ketika sekatan pergerakan tidak mampu menjayakannya.

Hakikatnya, dalam aspek melindungi hidup dan kehidupan, tiada situasi ‘menang-memang’. Kita masih dalam perang menentang musuh yang tidak kelihatan dan dalam apa juga situasi perang, pasti akan ada kerosakan.

Menjadi tugas kita untuk membendung kerosakan itu daripada menjadi lebih buruk, sekali gus memastikan kemenangan menentang virus berbahaya ini dapat dicapai dengan seberapa segera.
Syed Radzi Abdul Rahman
Alor Setar, Kedah