Inspector-General of Police Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 31 MAY 2021. Raub land encroachment musang king durian farmers Batu Talam permanent reserve forest
Inspector-General of Police Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 31 MAY 2021.

KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) telah dikerah ke Raub, Pahang untuk mengawal dan menjamin keselamatan di kawasan penerokaan tanah secara haram yang dilakukan pekebun durian di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ia bagi memberi bantuan keselamatan kepada petugas dan kakitangan pihak berkuasa tempatan dalam menjalankan tugas di kawasan tersebut.

Malah tindakan individu tidak dikenali yang telah merobohkan empat jambatan konkrit yang berada di kawasan penerokaan tanah haram itu sebagai usaha menghalang tindakan penguatkuasaan meneruskan operasi semalam, ujarnya.

“Isu pencerobohan tanah (penerokaan haram) di Raub sedang dikendalikan oleh Ketua Polis Pahang ketika ini dengan baik.

“Malahan kita juga telah hantar tenaga bantuan dari PGA untuk memastikan isu ketenteraman awam dapat dikendalikan di sana dengan baik dan berkesan tanpa sebarang insiden tidak dijangka.

“Dalam perkara ini saya menyeru semua pihak yang terbabit agar mematuhi peraturan dan undang-undang yang sedia ada dan dikuatkuasakan dan jika ada pun perkara yang tidak berpuas hati ia hendaklah disalurkan dengan cara dan rangkaian yang betul dan rasional,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian semasa sesi lawatan kerja meninjau 19 lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di ibu negara 14 hari ini sejak 3 Julai hingga 16 Julai ini.

Seramai 22 individu terdiri daripada pekerja dan pekebun durian Musang King mengusahakan tanaman di di kawasan seluas kira-kira 101 hektar yang diteroka secara haram telah ditahan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Sebanyak 200 pokok durian yang ditanam dan diteroka secara haram itu dimusnahkan oleh Jabatan Perhutanan.

Sementara itu, Acryl Sani berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat kelancaran tugas pegawai penguatkuasa.

Menurutnya, Pejabat Tanah dan Perhutanan Pahang menggunakan peruntukan kuasa dan undang-undang yang ada dalam bidang kuasa mereka untuk melindungi tanah hutan simpanan dan akan mengambil tindakan ke atas pencerobohnya.

Sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nor Azirim Ahmad dilaporkan berkata, tindakan segelintir pihak yang merobohkan jambatan konkrit menyebabkan pihak berkuasa terpaksa membaiki jambatan tersebut bagi membolehkan operasi memusnahkan kebun durian haram dapat dilaksanakan.

Menurutnya, pekebun haram itu dipercayai cuba melengahkan operasi jabatannya dengan pelbagai helah termasuk meletakkan kenderaan pacuan empat roda yang didakwa milik pekebun bagi menghalang laluan dengan membocorkan tayar.

Jabatan berkenaan terpaksa membaiki jambatan dengan mengangkat semula dua lantai simen yang dijatuhkan ke dalam anak sungai dan mengikatnya dengan menggunakan tali. – MalaysiaGazette