Empat suspek dibawa pegawai polis ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan kes bunuh dan samun bekas Penyelidik MARDI di Mahkamah Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 DISEMBER 2020.- Gambar fail.

KUALA LUMPUR – Empat lelaki didakwa di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan bunuh bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Wan Hassan Wan Embong pada 29 November lalu.

Keempat-empat tertuduh, S. Vickeswaran, 23, P. Kogilan dan M. Ravindran masing-masing berumur 24 tahun dan T. Sugu, 28, tenang ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka kemudian mengaku tidak bersalah dan mahu dibicarakan bagi kesalahan secara bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata parang dan sebatang tukul besi di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Mereka didakwa dengan niat bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Wan Hassan, 73, di Jalan Mambu, Bukit Bandaraya di sini antara 3.35 pagi dan 4 pagi pada 29 November lalu.

Dalam pada itu. Ravindran juga menghadapi satu lagi tuduhan berasingan mencederakan isteri mangsa dikenali sebagai Sarifah Yusof menggunakan sebilah parang dan didakwa bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Dayana Mohamad memberitahu mahkamah memandangkan kes itu mempunyai kepentingan awam, besar kemungkinan ia perlu dibicarakan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN).

Manakala kesemua tertuduh yang diwakili oleh peguam, Datuk Sheelan Arjunan memohon agar tarikh perbicaraan yang singkat diberikan oleh mahkamah.

Ketika bercakap dengan MalaysiaGazette, Sheelan turut memohon supaya kes-kes itu  dibicarakan serentak.

Sheelan Arjunan

Beliau juga memberitahu hakim kemudian menetapkan tarikh pengurusan kes pada 27 Julai ini manakala tarikh perbicaraan pula ditetapkan 7 dan 11, 14 hingga 18, 21 sehingga 25 Februari tahun depan.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa maut akibat ditetak dalam kejadian samun di rumahnya manakala isterinya cedera akibat ditetak dengan parang di tangan kanan.

Mangsa dipercayai cuba melawan dua lelaki tidak bertopeng yang memecah masuk melalui tingkap bahagian dapur banglo dua tingkat itu. -MalaysiaGazette