Gambar hiasan.

BAKU – Satu letupan besar berlaku di luar perairan Laut Caspian, Azerbaijan pada hari Ahad menyebabkan asap hitam tebal menyelubungi ruang udara.

Letupan itu berlaku di kawasan yang penuh dengan medan minyak dan gas itu disebabkan oleh gunung berapi lumpur, kata kerajaan

Namun setakat ini tiada berlaku kerosakan di medan-medan minyak.

Malah, tidak ada juga mangsa yang cedera setakat ini.

Gunung berapi lumpur terbentuk di bawah tanah oleh air, mineral dan gas mudah terbakar.

Video yang dikongsi dalam talian menunjukkan bola api dan asap meletus di atas dasar laut.

Kejadian letupan itu berlaku kira-kira 10 kilometer (km) dari medan gas Umid, yang terletak 75 km di luar pantai Baku, kata jurucakap syarikat minyak negara, Socar, Ibrahim Ahmadoc.

Api terus menyala hingga hari Isnin, tetapi tidak mengancam infrastruktur minyak dan gas atau nyawa orang, kata Kementerian Darurat Azerbaijan.

Kebakaran itu dikatakan berpunca daripada gunung berapi lumpur, yang menyemburkan gas lumpur.

Gunung berapi lumpur serupa dengan gunung berapi biasa tetapi tanpa lava.

Ia berlaku disebabkan oleh air yang dipanaskan jauh di dalam bumi yang bercampur dengan batu dan mineral – ketika meletus, campuran ini dipaksa ke permukaan dan terbakar.

Walaupun tidak jelas bagaimana gunung berapi lumpur dapat terbakar secara semula jadi, satu teori menyatakan ia mungkin berlaku apabila campuran gas mudah terbakar disebabkan oleh percikan api dari batu yang saling bertembung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast