Seorang kanak-kanak perempuan OKU Sindrom Down yang didakwa menjadi mangsa dera di sebuah Kondominium yang diduduki sejak setahun lalu sedang disiasat polis dengan seorang suspek wanita ditahan untuk membantu siasatan. Gambar Netizen Facebook.

KUALA LUMPUR –  Seorang anak istimewa yang menghidap sindrom down disyaki didera di sebuah rumah kebajikan di kondominium yang didiaminya sejak setahun lalu.

Kejadian dilaporkan berlaku sebuah unit kondominium yang terletak di Wangsa Maju.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusof berkata, seorang individu tempatan yang disyaki mempunyai kaitan dalam insiden itu ditahan bagi membantu siasatan.

Polis masih menjalankan siasatan lanjut terhada[ suspek.

“Pada 24 Jun lalu sekitar pukul 6.30 petang, polis menerima laporan berkaitan kes penderaan yang telah dilakukan terhadap seorang mangsa kanak-kanak perempuan OKU yang Sindrom Down berusia 13 tahun.

“Mangsa telah tinggal di unit tersebut sejak 14 Julai 2020 dan pemeriksaan mendapati mangsa mempunyai kesan melecur di bahagian dada, tangan, leher, paha serta kesan-kesan luka.

“Mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan dan hasilnya doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan dan mangsa didapati positif Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kanak-kanak berusia 13 tahun yang menghidap sindrom down itu dan disahkan positif Covid-19 baru-baru ini yang disyaki menjadi mangsa dera disiasaty polis.Gambar Netizen Facebook.

Malah kata Saiful Annuar,  hasil siasatan di kondominium itu mendapati ia turut didiami oleh enam lagi kanak-kanak yang mana dua daripada mereka yang berusia dua tahun yang juga OKU yang ada masalah sindrom down.

Tegas Saiful Annuar lagi, kesemua kanak-kanak tersebut tiada mengalami sebarang kecederaan dan kesmua mereka didapati positif Covid-19.

“Pihak polis akan meneruskan siasatan dalam kes ini setelah kesemua saksi-saksi (kanak-kanak) selesai menjalani kuarantin yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

“Unit rumah tersebut dijaga oleh seorang perempuan Melayu berumur 28 tahun dan kertas siasatan telah dibuka oleh polis dan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

“Jika sabit kesalahan tersebut, boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Terdahulu, gambar yang membabitkan insiden penderaan kanak-kanak istimewa OKU yang menghidap sindrom down itu telah tular di media sosial.

Seorang pengguna Facebook yang  berkongsi gambar kecederaan mangsa itu mendakwa remaja perempuan berusia 13 tahun itu dijadikan sebagai anak angkat oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibu kota.

“Baru-baru ini, saya dimaklumkan pemilik, petugas dan beberapa penghuni rumah kebajikan tersebut telah dijangkiti wabak Covid-19.

“Senarai nama penghuni telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut, namun namanya tidak dimasukkan ke dalam senarai,” dakwa pengguna itu, -MalaysiaGazette