Penduduk, Masturawati Malek mengelap air peluh suaminya yang bekas pesakit strok, Muhamad Abdul Aziz di Petaling Perdana, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 06 JULAI 2021.

PETALING JAYA – Seorang suri rumah tabah berdepan dengan ujian berat apabila suami yang dahulu ketua rumah tangga kini terpaksa dijaga seperti ‘bayi’ selepas diserang angin ahmar kira-kira dua tahun lalu.

Mengimbas kembali, Masturawati Malek, 53, berkata, suaminya, Muhamad Abdul Aziz, 43, mula jatuh sakit berpunca daripada penyakit darah tinggi.

Menurut Masturawati, suaminya dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama dua minggu untuk menerima rawatan dan selepas itu dia tidak lagi mampu bertutur seperti biasa.

Masturawati Malek. Foto AFFAN FAUZI, 06 JULAI 2021.

“Dia jatuh sakit pada bulan September 2019 berpunca daripada penyakit darah tinggi dan terkena serangan strok. Jadi selepas kejadian itu, suami sudah tak boleh nak bercakap macam kita yang normal ini dan perlu dipakaikan lampin sebab dia tidak boleh nak uruskan diri.

“Kadang-kadang dia jalan pun dah tak berapa stabil, saya kena selalu tengok risau dia terjatuh, saya kena jaga dia macam seorang bayi kerana mood dia pun tak menentu. Kadang-kadang dia marah atau menangis.

“Suami juga mengalami kesukaran ketika makan atau minum kerana semuanya akan meleleh keluar kerana bahagian bawah rahang mulutnya sudah tidak kuat lagi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di kediamannya di Blok K, Pangsapuri Petaling Perdana hari ini.

Terdahulu Masturawati turut menaikkan bendera putih di hadapan pintu rumah bagi memohon bantuan.

Katanya, dia kini semakin buntu apabila wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik suaminya hampir habis digunakan untuk menampung perbelanjaan seharian.

Jelas Masturawati lagi, ujian yang dihadapinya ketika ini merupakan satu tamparan hebat kerana dia tidak pernah bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa sepanjang lebih 20 tahun tempoh perkahwinan mereka.

Masturawati, tidak dikurniakan anak dan sedikit sebanyak memberi kesan kepada mereka selepas ditimpa musibah berikutan tiada tempat untuk bergantung harap.

Muhamad Abdul Aziz. Foto AFFAN FAUZI, 06 JULAI 2021.

“Saya bergantung 100 peratus dengan duit KWSP suami, sebelum ini dia bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan jadi wang KWSP dia pun tidaklah banyak mana.

“Saya pun tidak pasti sampai bila lagi boleh bertahan kerana bil elektrik, air dan barangan dapur juga semakin meningkat.

“Perangai suami pula tak ubah seperti seorang bayi kerana dia setiap hari mahu beli gula-gula, ais krim dan juga roti. Dia juga cepat bosan duduk di dalam rumah dan ingin keluar rumah,” katanya.

Tambah Masturawati, sebelum ini dia pernah membuat permohonan sebanyak tiga kali kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas suaminya diserang strok.

Namun Masturawati kecewa selepas semua permohonan itu gagal berikutan laporan perubatan suaminya tidak lengkap.

“Saya tidak cukup duit untuk buat permohonan laporan perubatan yang lengkap. Nak ulang alik pergi ke HKL perlukan wang kerana kami gunakan khidmat Grab, tambang perjalanan pergi balik kira-kira RM60, kami berdua pula memang tiada pendapatan langsung.

“Kalau boleh saya perlukan bekalan lampin saiz dewasa untuk digunakan oleh suami selain susu tepung untuk dia minum setiap hari,” katanya.

Kepada orang ramai yang ingin menderma boleh salurkan sumbangan anda ke nombor akaun Maybank milik Muhamad Abdul Aziz (162290070842) atau hubungi mereka di talian 018-277 1712. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kibar bendera putih ingat ada orang kaya datang tolong..

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast