Setiausaha Majlis Syura Ulama' PAS, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh (kiri) bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (dua kiri) berjalan keluar selepas pada mesyuarat tergempar pemimpin di Hotel Sheraton, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 23 FEBRUARI 2020.

MELIHAT gelagat ahli politik dalam ‘pentas teater’ mereka hari ini, teringat saya kepada lirik lagu Billy Joel ‘Honesty’; yang dinukilkan oleh beliau pada tahun 1978. Lagu berirama balada piano itu menceritakan tentang wujudnya secara meluas sifat tidak malu.
Petikan dari lirik lagu tersebut yang berbunyi:
Honesty is such a lonely word (Kejujuran adalah kata yang kesepian)
Everyone is so untrue (Semua orang sungguh tidak jujur)
Honesty is hardly ever heard (Kejujuran jarang sekali terdengar)
Billy Joel mendendangkan lagu ini pada 1978, dan nah kita sedang melihat gelagat ahli politik dengan secara tepat membenarkan maksud lirik tersebut.

Bila kita berbicara tentang kejujuran politik, ia amat berkait rapat dengan integriti politik. Integriti politik membawa makna menggunakan kuasa politik untuk kepentingan rakyat, bebas daripada kepentingan peribadi dan tidak menggunakan kuasa untuk terus kekal berkuasa dan memperkayakan diri.

Kejujuran adalah satu perkara yang begitu asing dengan kepimpinan politik hari ini; seperti kata Warren Buffet, “Harga kejujuran amat mahal dan jangan harapkan daripada orang yang mempunyai harga diri yang murah.” Inilah status kepimpinan politik tanah air kita dan amat menyedihkan.

Mengambil persamaan dalam penggambaran sebuah filem, apa yang bermula dengan skrip yang sumbang akan menjadi bertambah hodoh apabila ia ditayangkan di layar besar.
Skrip ‘Langkah Sheraton’ yang begitu sumbang dan menjelikkan itu telah menjadi asas kepada penggambaran teater politik PN yang amat meloyakan.

Skrip yang diwarnai oleh kerakusan nafsu, tidak berasaskan kepada prinsip dan integriti hari demi hari sedang mencengkam kerajaan PN setelah satu demi satu hasil daripada skrip itu ditayangkan di layar besar ‘rakyat.’

Terlalu banyak yang telah dilayarkan; sikap angkuh merasakan mereka adalah golongan
kayangan bebas daripada segala undang-undang yang terpakai ke atas rakyat marhaen
merupakan satu adegan filem yang sentiasa terpapar di layar besar; dan yang amat
menyedihkan aktor-aktor utamanya ialah mereka yang memegang tampuk kepimpinan.

Tidak cukup dengan keangkuhan; berbohong untuk menipu rakyat menjadi skrip yang menjadi-jadi dan mutakhir ini skrip ‘majlis durian tahun lalu’ daripada seorang yang berperanan dalam menjaga institusi rakyat yang tertinggi adalah satu tindakan yang melampau.

Kejujuran dalam menguruskan keperluan rakyat menjadi persoalan yang bermain di minda rakyat apabila layar besar memaparkan adegan-adegan pembahagian kontrak kepada kroni-kroni secara berleluasa.

Tidak boleh disalahkan rakyat apabila mereka mengetengahkan jalan cerita bahawa PEMULIH bukannya untuk membantu rakyat tetapi untuk memperkayakan golongan tertentu dan untuk kesinambungan politik aktor-aktor politik semasa PRU15.

Rakyat diperlekehkan sekali lagi apabila inisiatif daripada rakyat untuk membawa skrip prihatin dan empati ‘kibaran bendera putih’ dimomokkan oleh mereka yang berkuasa. Yalah, mana mungkin penggambaran yang sudah hodoh untuk diperbaiki dengan aktor yang lebih berwibawa.

Jadi, pengarah yang pincang terus menolak atas dasar ia adalah langkah politik untuk
menjatuhkan kerajaan sedia ada dan aktornya ialah mereka yang memegang tampuk
kepimpinan tertinggi.

Yang lebih mengecewakan, aktor-aktor sampingan yang sebelum ini tidak pernah pun
memberikan cadangan yang bernas untuk memenuhi citarasa penonton ‘layar besar,’ tampil untuk memegang peranan hero dengan membawa skrip agama yang digunakan tanpa segan silu “Jangan kibarkan bendera putih, tadah tangan dan berdoa”.

Menusuk dan menikam kalbu rakyat seperti kita sedang melihat adegan watak jahat dalam filem; ingin saja kita ‘menghenyak’ watak jahat kerana kebencian yang tidak boleh dikawal terhadap skrip yang dibawa.

Wahai mereka yang bergelar rakyat; apakah kita mahu terus menerus dipaparkan dengan
adegan-adegan yang jelik dan meloyakan ini? Adakah kita hanya sekadar penonton yang
terpaksa menerima paparan adegan demi adegan yang memperbodohkan kita?

Kalau jawapannya “enough is enough” seperti filem lakonan Jenifier Lopez, sudah sampai
masanya pula kita rakyat menentukan bagaiaman hiburan yang ingin kita dipaparkan dalam layar besar teater politik Malaysia.

Ia harus bermula dengan skrip yang jelas dan siapakah aktor-aktor utama yang kita inginkan mainkan peranan utama dalam ‘Teater yang baru.’ Melodrama integriti, keadilan dan kejujuran harus menjadi tema utama dan mewarnai adegan-adegan teater tersebut.
Teater yang bukan sekadar membosankan tetapi menimbulkan kebencian sudah pasti akan menyebabkan pengeluar dan Pengarah filem bankrap. Ayuh rakyat kita boleh memainkan peranan tersebut dan pentasnya akan tiba tidak lama lagi.

Zaharudin Othman