Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid . Foto SYAFIQ AMBAK, 11 MEI 2021.

PETALING JAYA – Polis menahan bekas ratu cantik yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk dan merempuh Sekatan Jalan Raya (SJR) di Lebuhraya Persekutuan awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3 pagi, wanita berusia 28 tahun tersebut yang memandu kenderaan bersama rakannya dari arah Kuala Lumpur menghala ke Petaling Jaya itu didakwa menumbuk anggota polis yang sedang bertugas di SJR berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, suspek bertindak agresif terhadap petugas SJR semasa hendak ditahan.

“Sejurus selepas dia sampai di laluan pemeriksaan polis di SJR Lebuhraya Persekutuan, suspek tanpa memberhentikan kenderaan terus merempuh sekatan pemeriksaan yang dikawal polis tersebut.

“Rentetan insiden itu, anggota kereta peronda polis (MPV) mengejar kenderaan yang memecut ke arah Jalan Universiti itu sebelum berjaya menahan suspek wanita berkenaan bersama seorang lagi rakan wanitanya yang menaiki kereta itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, ketika anggota keselamatan cuba melakukan tangkapan ke atas suspek selepas menahan keretanya di Jalan Universiti, wanita berkenaan enggan bekerjasama dan berprovokasi serta menumbuk anggota polis.

Menurut Mohamad Fakhrudin, suspek turut mencederakan seorang lagi rakan setugas polis itu.

“Wanita berkenaan bagaimanapun berjaya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Ujian kandungan alkohol ke atas suspek wanita berkenaan yang memandu kenderaan itu mendapati positif  dan melebihi paras EBA yang ditetapkan.

Justeru jelasnya, ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek positif ganja THC dan disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mohamad Fakhrudin bekata, suspek telah direman selama dua hari untuk membantu polis dalam siasatan yang dikendalikan di bawah Seksyen 26 (2) Akta Polis, Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast