Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said (kiri) diiringi Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud (empat kanan) menyerahkan dokumen perjalanan kepada warga asing pada Pelancaran Kaunter Program Rekalibrasi PATI di Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto HAZROL ZAINAL, 08 JULAI 2021.

SEPANG – Jabatan Imigresen (JIM) dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah membuka kaunter khas Program Rekalibrasi Pulang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pembukaan kaunter khas berkenaan menjadi titik permulaan dalam program rekalibrasi penghantaran pulang PATI dari negara ini yang mana akan meningkatkan kecekapan proses urusan dokumen perjalanan tanpa hadir ke mana-mana pejabat Imigresen sebelum mereka meninggalkan negara ini.

“Sebelum ini jabatan kami telah menerima banyak aduan daripada kedutaan-kedutaan setiap PATIĀ  menghadapi kesulitan dalam mendapatkan temu janji dalam talian bersama Imigresen yang mana slot sudah penuh dan terpaksa menunggu tempoh yang agak lama untuk berurusan dan sebagainya.

“Rentetan daripada rungutan dan aduan itu, Jabatan Imigresen telah duduk bersama MAHB dan berunding serta mengkaji segala perundangan dan keselamatan yang ada untuk menangani masalah ini dan tampil dengan kaedah baharu yang lebih berkesan.

“Hasilnya, dengan kerjasama MAHB, akhirnya kami telah membuka kaunter khas rekalibrasi pulang PATI 24 jam bermula Isnin minggu ini yang mana ia akan menjadi ‘game changer’ yang mana akan meningkatkan kecekapan proses penghantaran berbanding sebelum ini,” katanya di KLIA.

Beliau berkata demikian selepas turun bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said meninjau perjalanan Kaunter Khas Rekalibrasi Pulang PATI di Aras 3, Balai Ketibaan KLIA pagi tadi.

Mengulas lanjut mengenai kemudahan kaunter khas berkenaan, Khairul Dzaimee menambah bahawa kaunter berkenaan akan membolehkan setiap PATI terus datang ke kaunter berkenaan tanpa perlu melalui Janji Temu dalam talian (STO) pada hari jadual penerbangan (sekurang-kurangnya enam jam sebelum penerbangan) yang lazim digunapakai selama ini.

Menurut beliau, mereka hendaklah terus hadir ke kaunter khas rekalibrasi pulang KLIA dengan membawa dokumen perjalanan sah yang telah diluluskan oleh kedutaan masing-masing.

Mereka masih dikehendaki menjelaskan kompuan RM500 yang ditetapkan JIM di kaunter khas tersebut sama ada menerusi Kad Debit atau Kad Kredit atau Touch’nGo eWallet sahaja.

“Malah semasa datang berurusan di kaunter khas di KLIA ini, setiap PATI disyaratkan supaya membawa bersama tiket penerbangan pulang ke negara asal mereka yang telah disahkan oleh syarikat penerbangan.

“Lebih penting, mereka juga perlu melampirkan bersama slip keputusan ujian Ujian Saringan Tindakbalas Berantai Polimerase (RT-PCR) yang mana tempoh sah laku mestilah 72 jam dari tarikh penerbangan yang boleh dijalankan di mana-mana klinik sebelum hadir ke KLIA,” katanya lagi.

Ujarnya, mereka masih mematuhi peraturan yang ditetapkan MAHB di KLIA iaitu hendaklah melepasi saringan suhu badan di pintu 2,3,5 dan 6 Balai Berlepas di Aras 5 sebelum ke kaunter khas rekalibrasi ini di tingkat 3 bersebelahan Balai Ketibaan Domestik ini.

Di Aras 3 berhampiran Balai Ketibaan Domestik, tambahnya, pemeriksaan dokumen akan dijalankan di kaunter pertama dalam tempoh antara 20 hingga 30 minit dan kemudian akan ke kaunter kedua untuk dikeluarkan pas khas dan memo checkout sebagai proses terakhir sebelum mereka meninggalkan negara.

Kemudahan kaunter khas rekalibrasi pulang PATI berkenaan juga akan diwujudkan ke KLIA2 tidak lama lagi.

“Sejak 5 Julai hingga hari ini seramai 48 orang PATI telah berurusan dan bermanfaat dengan kaunter khas rekalibrasi ini dan berjaya pulang ke negara mereka tanpa kesulitan mengikut segala proses perundangan Malaysia yang ditetapkan.

“Oleh demikian saya menyeru majikan dan PATI supaya tidak menunggu sehingga saat akhir dan jangan menggunakan khidmat orang tengah atau ejen bagi menguruskan Rekalibrasi Tenaga Kerjda dan Rekalibrasi Pulang,” jelasnya lagi.

Sepanjang tempoh program ini bermula dari Disember 2020 sehingga sehingga hari ini, seramai 248 ,083 orang PATI telah menyertainya, yang mana 98,194 daripadanya berdaftar dengan program rekalibrasi pulang manakala 149, 889 orang lagi mendaftar untuk Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

“Jumlah majikan pula yang terlibat dalam rekalibrasi tenaga kerja adalah 6,822 orang berbanding sasaran penyertaan 250,000 PATI dalam kedua-dua program berkenaan.

“Berdasarkan statistik terkini, kami yakin dapat mencapai sasaran itu, selain jumlah juga dijangka meningkat antara 20,000 hingga 30,000 menjelang akhir Disember ini menerusi pembukaan kaunter khas tersebut,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast