Seramai 340 keluarga yang memerlukan dan terputus bekalan makanan dikesan dan hulurkan bantuan bakul makanan dengan kerjasama YaPEIM di IPD PJ pagi ini. Foto Ihsan IPD PJ

PETALING JAYA – Polis Petaling Jaya dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) hari ini menyerahkan 340 bakul makanan kepada golongan yang memerlukan menerusia Op Bantu.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, selain daripada penduduk setempat, pihaknya juga akan menyalurkan bantuan kepada pesara polis yang memerlukan bantuan.

“Kita mengesan 340 keluarga dalam kalangan masyarakat di Petaling Jaya yang menagih bantuan makanan keperluan asas dan nama beserta alamat mereka dikumpul dan diambil YaPEIM serta menyediakan barang keperluan asas untuk disalurkan.

“Kemudian pasukan IPD PJ yang ditugaskan telah menjejaki setiap keluarga itu dan menyerahkan bakul makanan yang mana pagi tadi sahaja beberapa keluarga dilaporkan oleh MalaysiaGazette, kita bersama YaPIEM berjaya menjejaki lapan keluarga tersebut dengan bakul makanan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini.

Tambah beliau, selaras dengan saranan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed, IPD Petaling Jaya menggerakkan bantuan bakul makanan untuk masyarakat yang memerlukan  pada saat getir ini.

Menurut Mohamad Fakhrudi, program Op Bantu itu akan diteruskan sepanjang pelaksanaan PKPD.

“Ada ramai di daerah ini sudah kibar bendera putih, kita menggalakkan mereka hubungi kita kerana polis sentiasa tak boleh gerak untuk kesan mereka.

“Mereka yang memerlukan bantuan makanan asas boleh hubungi balai polis berdekatan dan menyerahkan nama dan alamat supaya kami akan mengatur bakul makanan menerusi agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Zakat Selangor untuk tindakan segera,” ujarnya.

Katanya, bantuan daripada YaPEIM ini bukan hanya untuk golongan Islam, sebaliknya ia diberikan tanpa mengira agama dan bangsa. – MalaysiaGazette