Bangunan Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 03 NOVEMBER 2020.

KUAL ALUMPUR Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif.

Selain itu, langkah-langkah fiskal dan kewangan akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah serta memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi.

Berikutan keadaan pandemik yang tidak menentu, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

Bank Negara Malaysia terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan.

Bagi ekonomi Malaysia, kegiatan ekonomi yang lebih baik daripada jangkaan pada suku pertama tahun 2021 berterusan sehingga bulan April seperti yang dicerminkan oleh penunjuk terkini, terutamanya eksport, perbelanjaan runcit dan keadaan pasaran pekerja.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan di seluruh negara untuk mengekang penularan semula kes Covid-19 akan memperlahankan momentum pertumbuhan.

Tahap kesan daripada pelaksanaan langkah-langkah ini kepada ekonomi sangat bergantung pada ketegasan dan tempoh langkah-langkah pembendungan. Walau bagaimanapun, kebenaran yang terus diberikan kepada sektor ekonomi perlu untuk beroperasi, meskipun pada kapasiti yang berkurang, serta kemampuan yang lebih tinggi untuk menyesuaikan diri bekerja dari jarak jauh, penggunaan automasi dan pendigitalan akan mengurangkan sebahagian daripada kesan sekatan pergerakan.

Pelbagai pakej sokongan dasar akan meringankan sedikit beban kewangan yang ditanggung oleh isi rumah dan perniagaan. Keadaan permintaan luaran yang menggalakkan akan terus memberikan dorongan kepada pertumbuhan.

Pada masa hadapan, pengurangan langkah-langkah pembendungan secara beransur-ansur, bersama-sama dengan kemajuan pesat program pemberian vaksin dan permintaan luaran yang terus kukuh akan memberikan sokongan kepada pemulihan pertumbuhan menjelang tahun 2022.

Walau bagaimanapun, BNM berkata, prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi rendah dengan ketara disebabkan terutamanya oleh faktor yang boleh mendorong kepada kelewatan pelonggaran langkah-langkah pembendungan atau pelaksanaan langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat, dan pemulihan pertumbuhan global yang lebih rendah daripada jangkaan. Risiko-risiko ini boleh memberikan kesan kepada pemulihan pertumbuhan.

Seperti yang dijangka, inflasi keseluruhan baru-baru ini naik mendadak disebabkan oleh kesan asas daripada harga bahan api yang rendah pada suku kedua tahun 2020.

Peningkatan mendadak ini adalah bersifat sementara dan inflasi keseluruhan diunjurkan sederhana pada tempoh terdekat apabila kesan asas ini luput. Bagi tahun 2021, purata inflasi keseluruhan diunjurkan lebih hampir dengan angka yang lebih rendah dalam julat unjuran.

Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka kekal rendah, berpurata antara 0.5% hingga 1.5% untuk tahun ini, dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi, namun prospek ini bergantung pada perkembangan harga komoditi global.

Dalam pada itu, Bank Pusat menambah, pemulihan ekonomi global bertambah kukuh, disokong oleh peningkatan dalam aktiviti perkilangan dan perkhidmatan.
tetapi kadar pemulihan adalah berbeza-beza antara negara.

Negara-negara yang mencapai kemajuan yang lebih baik dalam pelaksanaan program pemberian vaksin telah dapat melonggarkan langkah-langkah pembendungan dan membolehkan aktiviti dalam negeri pulih dengan segera.

Di beberapa negara maju, sokongan fiskal dan monetari yang besar juga menyokong momentum pemulihan yang lebih kukuh, meskipun aktiviti di beberapa negara terganggu disebabkan oleh langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat bagi mengekang penularan semula Covid-19.

Keadaan kewangan kekal menyokong pertumbuhan, katanya.

Secara keseluruhan, imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan menjadi lebih perlahan disebabkan terutamanya oleh ketidakpastian berhubung dengan perkembangan pandemik dan potensi risiko volatiliti pasaran kewangan yang ketara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast