Kim Jong-un. foto Agensi

PYONGYANG – Rusia sekali lagi menawarkan vaksin Covid-19 kepada Korea Utara, di tengah-tengah laporan pelaksanaan sekatan pergerakan hingga menyebabkan kebuluran yang melampau.

Pyongyang telah menolak vaksin dan bantuan daripada sejumlah negara.

Sebagai gantinya ia telah menutup sempadan dalam usaha mengekang serangan virus Covid-19 tetapi langkah ini telah mempengaruhi perdagangan dengan China.

Korea Utara bergantung pada Beijing untuk makanan, baja dan bahan bakar.

Pemimpinnya, Kim Jong-un mengakui negara itu menghadapi kekurangan makanan, menggambarkan keadaan yang semakin “tegang”.

Dalam kenyataanya bulan lalu, Jong-un memberitahu rakyatnya untuk bersiap-siap “keadaan terburuk yang belum pernah berlaku” dalam memberi perbandingan tragedi kelaparan yang pernah meragut banyak nyawa pada tahun 1990-an.

Sekatan antarabangsa yang dikenakan ke atas negara itu telah memberi tekanan kepada bekalan makanan.

Rusia sebelum ini memaklumkan kepada Korea Utara bahawa “tidak semua orang dapat bertahan dengan sekatan yang sangat ketat” dan pada hari Rabu Menteri Luar Negeri Rusia, Sergey Lavrov mengatakan Moscow telah menawarkan vaksin Pyongyang.

Beliau juga mengulangi tawaran yang sama sekiranya Pyongyang memerlukan.

Kini terdapat sejumlah laporan yang menunjukkan kekurangan makanan di negara itu.

Sebuah laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semalam mengatakan negara itu menghadapi kekurangan makanan sekitar 860,000 tan tahun ini. – MalaysiaGazette