Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) memandang serius dakwaan seorang penerima vaksin disuntik dengan picagari kosong ketika hadir untuk vaksinasi di Hospital Banting di Selangor.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali mendakwa, lelaki terbabit yang dikenali sebagai Simon Ng telah pun membuat laporan polis di Balai Polis Kapar, Klang pada 6 Julai lalu berhubung kejadian itu.

Kata beliau, dakwaan itu amat serius dan bahaya kepada rakyat, selain menggugat serta mengancam Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK) kerana melibatkan integriti dan kepercayaan masyarakat dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

“Tidak habis-habis hal karut berlaku. Apa nak jadi dengan negara kita Malaysia ini? Sebelum ini pun, banyak perkara berlaku ketirisan dan dakwaan itu bukan perkara kecil.

“Suntikan picagari kosong boleh mengarah kepada vaksin tersebut dicuri atau dijual di luar. Oleh itu, siasatan dan tindakan segera perlu dilakukan supaya kejadian ini tidak berulang.

“Namun, siasatan polis sahaja tidak memadai, Putar menggesa kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa khas bebas diketuai tokoh berintegriti bagi membuat penyiasatan menyeluruh terhadap kes ini termasuk berkenaan program vaksinasi yang sedang berjalan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang individu terkejut apabila mendakwa menerima suntukan vaksin jenis Pfizer ‘kosong’ ketika mendapatkan suntikan di Hospital Banting.

Menurut laporan polis yang tular di laman media sosial, individu berkenaan mendakwa dia menerima suntikan itu pada jam 11.30 pagi dan turut membuat rakaman video sepanjang proses itu.

Katanya, sebaik selesai, dia menonton semula rakaman video berkenaa dan mendapati pihak terbabit tidak menekan jarum untuk memasukkan vaksin ke dalam badannya.

Menurut Dr. Ibrahim, perbuatan itu amat mengecewakan kerana mungkin ada pihak cuba mengambil kesempatan mencuri atau berlaku penyelewengan.

Agak mengecewakan, katanya, di negara ini tidak pernah lekang isu salah guna kuasa dan penyelewengan dalam kalangan kakitangan pelaksana dan penguatkuasaan yang bekerja sambil menyelam minum air, tanpa rasa bertanggungjawab dan takut kepada Allah.

“Di Malaysia ini memang luar biasa kerana dalam pasukan penguatkuasaan pun masih ada rasuah dan penyalahgunaan kuasa berlaku. Putra malu dengan berita seumpama ini apabila ia terbongkar.

“Ini makin memburukkan lagi persepsi dan tanggapan rakyat dalam usaha kerajaan menangani wabak yang tidak tahu bila penghujungnya,” katanya.

Beliau berkata, perkara sedemikian juga mencerminkan satu lagi kegagalan kerajaan mengurus program vaksinasi kebangsaan dan berbilion ringgit sudah dibelanjakan sepanjang darurat serta tiada semak dan imbang.

Dr. Ibrahim turut mempersoalkan, adakah itu merupakan strategi agar dapat menunjukkan peningkatan jumlah penerima vaksin, lebih lagi apabila mendapat tekanan oleh rakyat khusus warga emas yang mempunyai masalah kesihatan, tetapi belum menerima tarikh temu janji?

“Lebih buruk lagi jika ada tangan ghaib yang mengambil kesempatan menjual vaksin kepada pasaran gelap atau memberi kepada rakan yang tidak layak menerima di fasa pertama sebelum ini.

“Antara dua persepsi ini, sekiranya ada yang diketahui dan ditangkap manipulasi pemberian vaksin mudah untuk dihukum. Namun, sekiranya ia diatur oleh kerajaan bagi menyegera dan meningkatkan jumlah penerima semata-mata, ini adalah satu kegagalan urus tadbir kerajaan.

“Mereka yang bertanggungjawab perlu melepaskan jawatan kerana menunjukkan nilai yang tidak baik dengan tindakan tidak bermoral, menipu dan mengenepikan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara.

Beliau menegaskan, Putra tidak akan berkompromi dengan mana-mana entiti cuba mensabotaj atau salah guna kuasa ketika rakyat dan negara begitu kritikal dengan ancaman Covid-19, tetapi ada penjahat tidak bertanggungjawab dan tidak berintegriti.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu mengucapkan tahniah kepada Simon Ng kerana pantas membuat laporan polis.

“Kepada warga Putra di semua peringkat terutama di akar umbi, bantulah rakyat yang susah terutama jika dilihat bendera putih tanda keluarga berkenaan memerlukan mohon bantuan.

“Bantulah setakat yang mampu dan upaya. Amal jariah besar pahala di sisi Allah. Tahniah kepada Putra di seluruh negeri dan Bahagian yang bangkit membantu rakyat dalam keadaan sekarang.

“Saya bangga dan bersyukur warga Putra menunjukkan cakna kepada rakyat. Biar parti lain sibuk berpolitik, tetapi Putra sibuk membantu dan menolong rakyat setakat termampu dan ikhlas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast