Benjamin Mora.

KUALA LUMPUR – Segelintir penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah hilang kepercayaan terhadap pengendali kelab itu, Benjamin Mora susulan aksi hambar di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2021.

Laungan agar jurulatih dari Mexico itu disingkirkan semakin lantang kedengaran selepas skuad Harimau Selatan menamatkan aksi peringkat kumpulan dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Ratchaburi FC malam tadi.

JDT hanya mencatat satu kemenangan, satu seri dan empat kekalahan untuk mengakhiri Kumpulan G di tangga ketiga.

Namun pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil mempertahankan pengendali itu dan meminta penyokong memahami pencapaian di ACL bukanlah satu kegagalan sebaliknya satu penghormatan.

“Siapa lantik Mora? Saya. Kenapa tiada orang suruh saya out? Saja nak tanya. Tahun ini sudah ada satu piala betul? Setiap tahun dari 2014 ada satu atau dua piala betul? Ini ACL. Kita pernah menang game ACL, kita draw, kita kalah

“Lawan kelab Jepun kita pernah menang, lawan kelab Korea kita pernah menang. Sekarang level kita belum cukup tinggi untu ACL. Tetapi untul bersaing di ACL adalah satu penghormatan. Kita satu-satunya kelab dari negara ini main ACL.

“Bagus untuk ada cita-cita tetapi cita-cita dengan khayalan berbeza. Pertama sedar diri level kita kelab Malaysia, kedua baru bermimpi, ketiga jangan berputus asa dan terus perbaiki diri,” tulis Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor di Instagram miliknya sambil meletakkan hashtag #TMJout (17 piala), #Martinpressout (17 piala) dan #Alistairout (14 piala).

Di sebalik apa yang ditegaskan Tunku Ismail, apa yang mengecewakan penyokong-penyokong JDT pada hakikatnya taktikal Benjamin Mora yang sudah ‘basi’ dan sudah boleh dibaca pasukan lawan selain kurang idea untuk mencorakkan permainan pasukan itu.

Malah dia juga dikecam kerana tidak memanfaatkan sebaik mungkin himpunan pemain bintang yang ada di dalam skuad sebaliknya menyandarkan harapan kepada pemain yang sama.

Sebagai rekod, Mora dilantik sebagai ketua jurulatih JDT pada tahun 2018 selepas membimbing JDT II selama dua musim bermula 2016.

Dia membawa pasukan itu beraksi tiga musim berturut-turut di pentas ACL. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast