Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

KUALA LUMPUR – Aktiviti pengumpulan minyak masak terpakai (UPCO) di pasaran memerlukan lesen daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), sekiranya ia berasal daripada minyak sawit, kata Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Ini kerana aktiviti itu adalah salah satu aktiviti dalam industri sawit yang dilesen dan dipantau oleh MPOB.

Oleh itu, individu atau entiti yang berminat boleh memohon lesen daripada MPOB,” kata beliau.

Minyak masak sawit terpakai boleh dikitar semula untuk dijadikan bahan lain khusus bagi penghasilan produk bukan makanan seperti biodiesel, lilin, pencuci, sabun serta makanan haiwan.

Ahmad Parveez berkata, pada tahun 2020, jumlah belian UPCO dalam negara oleh peniaga minyak sawit dan kilang biodiesel meningkat kepada 446,904 tan daripada 308,015 tan pada tahun sebelumnya.

Pada tahun yang sama, jumlah jualan UPCO oleh peniaga minyak sawit dan kilang biodiesel meningkat kepada 249,946 tan berbanding 245,400 tan pada tahun 2019.

Sementara itu, jumlah minyak sawit terpakai yang diproses oleh kilang biodiesel dan peniaga minyak sawit turut mencatat peningkatan daripada 8,345 tan pada tahun 2019 kepada 189,717 tan pada tahun 2020.

Beliau berkata, UPCO diklasifikasikan sebagai minyak sawit keladak atau sludge palm oil (SPO) seperti termaktub di dalam Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005.

Menurut Peraturan 2, Tafsiran: Minyak Sawit Keladak (SPO) adalah minyak sawit yang telah merosot mutunya akibat tidak disimpan dengan sewajarnya atau disimpan terlalu lama; minyak yang tinggal atau yang tertumpah yang didapati daripada pengilangan, penapisan, penyimpanan atau pengangkutan; atau apa-apa minyak sawit masak yang telah luput tarikh atau minyak sawit masak yang telah digunakan.

Pengendali UPCO dilesenkan dalam kategori Peniaga Minyak Sawit (DL) bagi produk SPO sebagaimana termaktub di dalam Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005.

Terdapat empat aktiviti yang dilesenkan oleh MPOB iaitu menjual dan mengalih SPO; membeli dan mengalih SPO, menyimpan SPO; dan mengeksport SPO.

“MPOB mengenakan fi lesen sebanyak RM100 setahun untuk setiap aktiviti tersebut,” katanya.

Permohonan lesen akan diluluskan berdasarkan empat kriteria yang telah ditetapkan. Pertama, entiti perniagaan memohon mestilah yang sah (syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan jika koperasi, melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Kedua, modal mestilah RM50,000 (RM 100,000 jika ada aktiviti mengeksport) dan bukti modal boleh didapatkan melalui maklumat modal dan syer SSM, penyata bank terkini (pemilik tunggal) dan pemilikan syer koperasi.

Kriteria ketiga pula adalah mengenai pemilikan premis, yang mana entiti tersebut mesti mempunyai pemilikan yang sah ke atas tanah atau premis dan dapat dibuktikan melalui surat hak milik tanah, pajakan, sewaan, perjanjian jual beli, kebenaran menduduki daripada pemilik atau dokumen-dokumen lain berkaitan.

Kriteria terakhir pula adalah mengenai kesesuaian premis (tidak boleh ada aktiviti menyimpan bagi tujuan makanan manusia dan ternakan).

Tambah beliau, premis teres dan semidetach hendaklah bebas daripada kemungkinan pencemaran justeru, kaedah penyimpanan dan pengendalian mesti bersesuaian dengan aktiviti yang mana lesen dimohon.

Pihak yang berminat boleh membuat permohonan lesen secara dalam talian: e-lesen.mpob.gov.my. Bagi aktiviti mengeksport minyak sawit (minyak sawit mentah (CPO), minyak sawit diproses (PPO), SPO pemohon perlu memohon lesen eksport (AP) Kastam dibawah Akta Kastam 1967: Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2017. – MalaysiaGazette