Mohd Kamarudin Md Din.

KUALA LUMPUR – Polis menasihatkan orang ramai yang dalam kesempitan hidup akibat kesan pandemik Covid-19 tidak sekali-kali membuat pinjaman daripada sindiket atau ahlong.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md. Din berkata, ini kerana kadar faedah dikenakan ahlong tinggi dan tidak menentu.

Selain itu, katanya, pinjaman itu juga tidak ada tempoh pembayaran dan ahlong akan mengganggu serta mengugut sekiranya peminjam gagal membayar hutang dalam masa ditetapkan.

“Yang pasti, keselamatan ahli keluarga dan harta benda akan terancam serta mendatangkan ketakutan sehingga menyebabkan tekanan emosi kepada peminjam dan ahli keluarga,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Beliau berkata, orang ramai juga dinasihatkan membuat semakan dan pengesahan lesen berdaftar syarikat pinjaman wang berlesen dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui laman sesawang www.kpkt.gov.my.

Katanya, pinjaman biasanya dilakukan secara bersemuka di kaunter, bukan melalui atas talian sebagaimana ditawar dan diiklankan oleh ah long.

Menurut Mohd Kamarudin, pandemik yang melanda negara sejak awal tahun 2020 hingga kini menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan, pendapatan sehingga memaksa mereka meminjam wang daripada pemberi pinjaman wang tanpa lesen untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Sindiket ini biasanya mencari peminjam yang gagal membuat bayaran dengan ugutan dan ancaman ke atas keselamatan diri, harta benda serta sehingga ke peringkat ancaman bunuh.

“Sindiket ini kerap menyasarkan individu yang tidak layak untuk membuat pinjaman kewangan daripada institusi kewangan kerana telah disenarai hitam atau telah diisytiharkan sebagai muflis,” katanya.

Beliau menegaskan, operasi pembanterasan ke atas sindiket ah long akan terus dilaksanakan secara lebih serius dan menggesa orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan tawaran daripada individu terbabit.

Katanya, orang ramai diminta untuk terus membantu polis dengan memainkan peranan sebagai mata dan telinga menyalurkan maklumat aktiviti jenayah komersil melalui saluran CCID Scam Response Center di talian 03-26101 559 dan 03-26101 599.

Mereka juga boleh salurkan melalui aplikasi WhatsApp CCID Infoline di talian 013-2111 222 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran, katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast