Mesin penjualan air bergula secara layan diri. - Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa mengharamkan penjualan minuman bergula daripada mesin layan diri di hospital, sekolah dan tempat awam.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, gesaan itu dibuat susulan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa Australia Barat untuk mengharamkan penjualan minuman bergula sebagai sebahagian daripada langkah untuk memerangi obesiti.

Jelas beliau, di bawah dasar itu, semua mesin layan diri dan kedai runcit termasuk kafe, kedai cenderahati dan kiosk tidak dibenarkan untuk menjual minuman manis bergula yang mempunyai nilai pemakanan yang rendah atau tiada sama sekali.

Minuman bergula ini termasuklah minuman ringan, teh ais, minuman tenaga dan sukan dan sesetengah jus buahan, minuman berperisa dan susu.

“Ketika pandemik Covid-19 sedang melanda negara terdapat keperluan segera untuk mengekang peningkatan kelaziman obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Malaysia sepatutnya mengambil pengajaran daripada perkara ini memandangkan negara kita mempunyai kelaziman obesiti tertinggi dalam kalangan orang dewasa di Asia Tenggara.

“Malah, dalam Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, 50.1 peratus daripada penduduk dewasa kita dilaporkan mempunyai berat berlebihan (30.4 peratus) atau obes (19.7 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohideen berkata, kehadiran mesin layan diri yang dipenuhi dengan minuman bergula di tempat awam menyukarkan pengguna muda untuk mengawal godaan terhadap minuman tersebut.

“CAP telah buat banyak gesaan kepada pihak berkuasa sebelum ini untuk mengharamkan penjualan minuman bergula daripada mesin layan diri memandangkan kajian menunjukkan rakyat Malaysia mengambil terlalu banyak gula dalam diet mereka.

“Bagaimanapun, sehingga kini tiada tindakan diambil dan bilangan rakyat Malaysia yang menderita akibat daripada obesiti semakin meningkat.

“Kita harap pihak berkuasa mengambil tindakan segera untuk mengharamkan penjualan minuman bergula daripada mesin layan diri kerana ia akan menyumbang kepada obesiti yang merupakan faktor risiko bagi penyakit tidak berjangkit (NCD),” kata beliau.

Tambah Mohideen, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berpendapat, pesakit dengan penyakit kardiovaskular, penyakit pernafasan kronik, diabetes dan kanser lebih mudah terjejas untuk jatuh sakit apabila mereka dijangkiti Covid-19.

“Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan, pesakit Covid-19 dengan NCD mengalami gejala lebih teruk dengan lebih 85% daripada mereka yang meninggal merupakan penghidap penyakit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi,” ujar Mohideen. – MalaysiaGazette